GEORGE TOWN – Polis selesai merekodkan keterangan daripada seorang suri rumah yang bertindak menyerang pegawai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan menumbuk perut serta membaling pisau ke arah anggota penguatkuasa terbabit hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kertas siasatan berhubung kes membabitkan wanita berusia 58 tahun itu telahpun siap dan dirujuk ke pejabat pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
“Wanita tersebut juga telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah ditahan dalam tempoh 24 jam sejak petang semalam.
“Kita dimaklumkan suspek bertanggungjawab menjaga suaminya yang lumpuh dan mereka hanya tinggal berdua.
“Suspek juga mendakwa yang dia naik angin setelah pegawai terbabit bercakap kasar dengannya. Setakat ini, suspek tidak terkesan dengan masalah kesihatan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam semasa menjalankan tugas.
Kosmo! Online semalam melaporkan polis berjaya memberkas wanita yang bertindak menyerang pegawai MBPP berhampiran kediamannya di Jalan Burmah kira-kira pukul 1.30 petang.
Turut dirampas adalah sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek untuk membaling ke arah pegawai semasa menjalankan Operasi Pemantuhan prosidur standard operasi (SOP) Covid-19 di Pasar Awam Pulau Tikus di sini Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, suspek yang tidak memakai pelitup muka dan cuba memasuki ke pasar berkenaan dengan menggunakan laluan tikus dikatakan naik angin sebaik ditegur pihak berkuasa terbabit. – K! ONLINE