MADRID – Harapan Real Madrid untuk memberi tekanan kepada seteru tradisi, Atletico Madrid dalam perebutan gelaran La Liga berdepan cabaran tamparan hebat apabila kehilangan khidmat pemain berpengaruh, Toni Kroos yang disahkan positif Covid-19.
Perkara itu disahkan oleh pengurusan The Galacticos selepas Kroos terlebih dahulu disisihkan ketika menyaksikan skuad kendalian Zinedine Zidane itu menang 1-0 ke atas Athletic Bilbao pada aksi La Liga, minggu lalu.
“Real Madrid boleh mengesahkan bahawa Toni Kroos dijangkiti Covid-19 selepas ujian calitan dilakukan kepadanya hari ini. Dia (Kroos) terkena virus itu selepas menjadi kontak rapat kepada rakannya yang terlebih dahulu disahkan positif.
“Justeru, Kroos telah diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri sejak Jumaat lepas dan tidak akan bersama pasukan pada aksi terakhir La Liga menentang Villareal pada Sabtu ini,” kata Real dalam satu kenyataan.
Sebagai rekod, Real kini ketinggalan dua mata berbanding Atletico yang gah mendahului liga ketika saingan musim ini hanya berbaki satu perlawanan sekali gus memberi cabaran hebat dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan musim lalu.
Kroos sememangnya menjadi watak penting dalam skuad kendalian Zidane itu selepas membuat 42 kemunculan dalam semua kejohanan musim ini selain berjaya menjaringkan tiga gol.
Sementara itu, Atletico yang turut memerlukan kemenangan akan bertemu dengan pasukan yang bergelut di zon penyingkiran, Real Valladolid dalam usaha untuk menjuarai kejuaraan La Liga pertama sejak edisi 2014. – AGENSI