KOTA BHARU – Seorang anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu mengakui dia serta rakan-rakan berdepan tugas mencabar serta memenatkan apabila perlu menguruskan lebih tiga jenazah pesakit Covid-19 dalam sehari pada Ramadan lalu.
Berkongsi pengalamannya kepada Kosmo!, Pegawai Bomba Kanan II, Marzuki Mohd. Sikri mengakui, dia serta anggota lain melalui tugasan paling mencabar sepanjang 14 tahun bertugas dalam jabatan itu apabila diberi tanggungjawab mengebumikan lebih tiga jenazah pesakit Covid-19 dalam 24 jam.
Keadaan itu menyebabkan lelaki berusia 37 tahun itu dan seluruh anggota pasukannya terpaksa memakai peralatan perlindungan diri (PPE) selama lebih lapan jam sehari untuk menguruskan jenazah.
“Situasi menguruskan jenazah pada Ramadan lalu amat mencabar kerana bilangan kematian pesakit Covid-19 bertambah berbanding bulan-bulan lain.
“Kami telah menguruskan lebih 20 kematian melibatkan pesakit Covid-19 sepanjang April lalu. Malah, ada hari yang terpaksa mengebumikan lebih tiga jenazah sehari,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
HAZMAT adalah merupakan unit khas yang ditubuhkan oleh Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menangani bahaya kimia.
Kongsinya lagi, tugasan anggota HAZMAT ketika ini tidak mengira waktu apabila mereka perlu berada dalam keadaan bersiap sedia sekiranya perlu menguruskan jenazah Covid-19 dengan segera.
“Kami perlu melakukan tugas dari siang hingga ke tengah malam. Secara jujurnya, amat meletihkan terutamanya pada waktu siang apabila kami perlu memakai PPE sehingga selesai tugasan dalam keadaan cuaca panas.
“Bagaimanapun, demi tanggungjawab yang perlu diselesaikan, perkara itu sudah tidak menjadi masalah buat kami. Apa yang penting adalah urusan pengurusan jenazah dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.
Marzuki berkata, sebelum menguruskan jenazah pesakit Covid-19, dia akan menunaikan solat fardu terlebih dahulu sekiranya sudah masuk waktu.
“Selesai tugasan pengurusan jenazah, PPE itu perlu terus dilupuskan bagi mengelakkan penularan jangkitan. Dengan menunaikan solat di awal waktu memudahkan segala urusan saya.
“Pemakaian PPE juga sudah menjadi sebahagian daripada anggota HAZMAT. Panas atau tidak, kami perlu terus memakainya kerana ia merupakan satu-satunya kaedah untuk mengekang jangkitan kepada ahli keluarga di rumah,” katanya.
Menurut Marzuki, penglibatan pasukan itu dalam menguruskan jenazah pesakit Covid-19 bermula sejak setahun lalu selepas Kementerian Kesihatan memohon bantuan JBPM dalam urusan tersebut.
“Apabila kita terlibat dalam pengurusan jenazah terbabit, akan timbul keinsafan dalam diri memandangkan kematian pesakit ini tidak dapat diuruskan oleh keluarga terdekat dan mereka hanya mampu melihat dari jauh.
“Ada yang menangis dan hanya mampu melambai dari jauh. Sayu hati ketika melihat keadaan itu dan ia merupakan kenyataan yang harus ditempuhi apabila menguruskan jenazah pesakit Covid-19,” katanya.
Marzuki berkata, pengalaman berkenaan merupakan tugasan paling mencabar dan akan terus terpahat dalam ingatannya sepanjang berkhidmat dengan HAZMAT.
Marzuki turut berpesan kepada masyarakat supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sekali gus dapat memutuskan rantaian pandemik Covid-19. -K! ONLINE