REMBAU – Kejadian tidak berperikemanusiaan yang menimpa rakyat Palestin mendorong badan bukan kerajaan (NGO), Amal Team Rembau mengibarkan bendera sebagai tanda sokongan kepada umat Islam yang ditindas di Gaza.
Pengasas NGO itu, Ibrahim Hamzah, 32, berkata, bendera Palestin itu dikibarkan sejak dua hari lalu di Teratak Amal Team Rembau di Taman Chembong Jaya di sini.
“Saya mendapat banyak maklum balas positif daripada masyarakat di negeri ini apabila ramai individu yang menghubungi untuk bersama-sama mengibarkan bendera Palestin sebagai tanda solidariti.
“Namun kami sukar untuk mendapatkan bendera tersebut dengan bekalan diperolehi daripada sebuah lagi NGO, Aman Palestin,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, permintaan terhadap bendera Palestin amat menggalakkan berbanding 100 unit sebelum ini.
Disebabkan permintaan yang tinggi, Ibrahim terpaksa menutup tempahan dalam masa kurang dua jam selepas jumlahnya mencapai 170 unit bagi yang bersaiz besar dan sederhana.
“Pada pandangan saya, untuk berjihad di sana (Gaza) adalah mustahil dalam keadaan sekarang ini, jadi kita mengibarkan bendera dan doa sebagai tanda sokongan,” katanya.
Kibaran bendera itu membawa mesej kesedaran buat umat Islam di negara ini untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan umat Islam di Gaza.
Sebanyak RM2 daripada hasil jualan bendera itu dimasukkan ke dalam tabung Amal Team Rembau.
“Bagi tempahan masjid dan surau, bendera diberikan secara infak,” katanya yang mendapat tempahan dari Seremban, Rembau, Tampin dan Alor Gajah. -K! ONLINE