PETALING JAYA – Longgokan barang terpakai di dua buah tong kitar semula di Taman Bukit Indah, Ampang sudah dibersihkan pihak berkuasa tempatan hari ini.
Menerusi perkongsian seorang netizen dikenali sebagai Akbarsaharie di laman Instagramnya, kedua-dua kawasan tersebut telah dibersihkan oleh pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan pihak ‘recycle charity’ pagi tadi.
“Terima kasih MPAJ dan pihak ‘recycle charity’ kerana telah membersihkannya pagi tadi selepas saya memuat naik video keadaan tempat ini semalam.
“Barulah tidak sakit mata apabila melalui kawasan ini, jangan ada pula individu yang datang ‘mengotorkan’ semula kawasan ini,” katanya di laman Instagram hari ini.
Pada masa sama, Akbarsaharie yang juga penduduk taman berkenaan menafikan longgokan sampah itu berpunca daripada aktiviti selongkar oleh segelintir individu.
“Saya menyangkal dakwaan itu kerana tong kitar semula ini berkunci dan ruang untuk mengambil barang dalam tong juga sempit dan tidak muat untuk diambil menggunakan tangan.
“Longgokan barangan sebelum ini memang sengaja dibuang di luar tong kitar semula oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” jelasnya.
Terdahulu Kosmo! Online melaporkan perbuatan segelintir individu membuang dan melonggokkan barang terpakai berdekatan tong kitar semula bukan sahaja mengundang kemarahan penduduk sekitar, malah turut mencacatkan pemandangan kawasan sekitar.
Menerusi perkongsian klip video di Instagram Akbarsaharie, longgokan barangan terpakai itu berlaku di dua buah tong kitar semula di Taman Bukit Indah, Ampang.
Video berdurasi dua minit lima saat itu jelas memaparkan beberapa barangan antaranya pakaian, tilam, kelengkapan rumah dan kasut dibiarkan di luar tong berkenaan. – K! ONLINE