PUTRAJAYA – Program menteri bersama pelajar tahfiz tidak berlaku semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang didakwa, sebaliknya ia berlangsung sebelum pelaksanaan PKP iaitu pada 29 April lalu.
Itu penjelasan diberikan Setiausaha Akhbar Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz bagi menafikan laporan dikeluarkan sebuah portal berita kononnya Tan Sri Annuar Musa menganjurkan majlis hari lahir dalam tempoh PKP.
Tun Faisal berkata, laporan bertajuk ‘Walau PKP, menteri buat majlis hari lahir dihadiri 100 pelajar tahfiz’ yang disiarkan pada hari ini, pukul 4:09 petang itu adalah satu fitnah yang nyata.
“Ia adalah Majlis Silaturrahim dan Berbuka Puasa bersama Maahad Tahfiz Integrasi Madinatul Huffaz dan pautan video sambutan adalah seperti berikut, https://www.facebook.com/AnnuarMusa/videos/650154596384180/.
“Penulisan berita fitnah ini jelas menunjukkan pelanggaran etika kewartawanan oleh wartawan dan editor portal berita itu.
“Mereka langsung tidak mahu membuat semakan fakta sebelum menyiarkan berita fitnah di portal mereka,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Dalam pada itu, Tun Faisal berkata, portal berita sama turut menyiarkan satu lagi berita yang juga berunsur fitnah, hari ini.
“Ia berhubung laporan bertajuk ‘Sekali lagi menteri bergelar ‘Tan Sri’ didakwa menikah di selatan Thailand’.
“Berita fitnah ini telah disiarkan hanya berdasarkan tweet seorang individu, tanpa sebarang rasa tanggungjawab untuk menyemak sama ada sijil nikah tersebut adalah sijil sebenar dan tanpa menyemak tweet berikutnya yang menyebut bahawa gambar sijil nikah tersebut hanyalah ‘sekadar hiasan’,” katanya. – K! ONLINE