fbpx

Vaksin diutamakan untuk PICK sebelum kerajaan negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Pembekalan stok vaksin yang telah ditempah akan didahulukan kepada kerajaan Persekutuan untuk pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum bekalan vaksin terbabit dapat disalurkan kepada pihak lain.

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mengambil maklum jenis vaksin yang cuba diperoleh negeri Selangor misalnya adalah daripada syarikat farmaseutikal yang sama dibeli di bawah PICK.

“Sebelum apa-apa bekalan vaksin dapat disalurkan oleh syarikat farmaseutikal kepada kerajaan negeri, pihak industri atau hospital swasta yang membuat tempahan serta pembelian, ia akan didahulukan kepada kerajaan Persekutuan.

“Ini berdasarkan syarat perjanjian antara kerajaan Persekutuan dengan syarikat-syarikat pengeluar vaksin berkenaan melainkan stok vaksin melalui pembekal yang tidak terlibat dalam PICK,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Media sebelum itu melaporkan Kerajaan Negeri Selangor menawarkan pembelian vaksin kepada majikan dengan berdaftar di aplikasi SELangkah.

Bagaimanapun, laman dan aplikasi tersebut tidak menyatakan jenis vaksin yang akan disediakan.

Pada masa sama, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. James Jemut Masing turut dilaporkan berkata, kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya menyekat mana-mana kerajaan negeri atau institusi yang mahu membeli vaksin Covid-19 sendiri.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin berkata, CITF juga mengalu-alukan sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang ingin membantu program imunisasi, dengan menyumbangkan bekalan dos vaksin kepada program tersebut atau negeri, dengan syarat vaksin yang akan disumbangkan telah mendapat kelulusan NPRA.

“Buat masa ini, tiga jenis vaksin yang telah mendapat kelulusan NPRA adalah vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca,” katanya.

Beliau berkata, CITF juga mengambil maklum tentang hasrat Yayasan Sekhar untuk menyumbangkan bekalan vaksin jenis Sinovac kepada program imunisasi.

Bagaimanapun, katanya, setelah diperiksa dengan pihak Sinovac di China dan Pharmaniaga iaitu pemegang lesen bagi vaksin Sinovac di Malaysia, tiada apa-apa permohonan atau pembelian mahupun dokumen rasmi berkaitan perkara ini yang telah dikemukakan oleh Yayasan Sekhar.

“Tiada sebarang halangan sekiranya Yayasan Sekhar atau mana-mana pihak yang mahu meneruskan hasrat murni ini, namun ia haruslah disusuli dengan tindakan mengikut saluran yang ditetapkan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI