fbpx

Kena kompaun RM4,000 anjur kenduri kahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan

JOHOR BAHRU – Sebuah keluarga dikompaun sebanyak RM4,000 selepas mengadakan majlis kenduri kahwin di sekitar di Iskandar Puteri, dekat sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, perbuatan itu sekali gus melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan.

Katanya, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berkenaan majlis tersebut yang dipercayai diadakan kira-kira pukul 5.30 petang.

“Susulan laporan yang diterima pada pukul 8 malam, polis membuat pemeriksaan ke lokasi majlis diadakan namun mendapati kenduri kahwin itu sudah selesai dan tetamu sudah bersurai.

“Berdasarkan bukti bergambar yang diberikan oleh pengadu tersebut, polis mengeluarkan kompaun kepada tuan rumah majlis berkenaan.

“Majlis kenduri kahwin itu merupakan salah satu daripada 20 aktiviti sosial yang dikenakan kompaun yang dikeluarkan Polis Johor bagi kesalahan melanggar SOP Aidilfitri,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Ayob Khan memberitahu, sebanyak 20 kompaun membabitkan nilai RM42,000 dikeluarkan Polis Johor bagi kesalahan melanggar SOP Aidilfitri pada Jumaat dan Sabtu lalu.

“Mengikut pecahan, sebanyak 14 kompaun dikeluarkan di daerah Batu Pahat bagi kesalahan aktiviti ziarah raya, empat kompaun di Kluang dan satu di daerah Johor Bahru Utara (JBU) turut membabitkan kesalahan yang sama.

“Nilai semua kompaun itu adalah sebanyak RM42,000, namun sama ada ia dikurangkan atau tidak, bergantung kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Pada masa sama, Ayob Khan menyeru masyarakat supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Siapa ingkar, kita akan ambil tindakan. Nak nasihat, kita dah bagi nasihat dah. Jadi, saya seru semua masyarakat khususnya di Johor, supaya patuhi SOP,” katanya.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI