KANGAR – Tatkala umat Islam sibuk menyambut hari raya, sindiket pengedaran dadah mengambil kesempatan mengatur strategi untuk menyeludup 190.9 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM477,250 dari Thailand pada awal pagi, Khamis lalu.
Walau bagaimanapun, taktik licik kumpulan itu berjaya dipatahkan polis susulan penemuan ganja di dalam bot nelayan dengan nombor pendaftaran tempatan yang diletakkan di sebuah jeti haram di Kuala Perlis.
Polis kemudian menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang disyaki dalang sindiket bersama teman wanitanya berusia lingkungan 20-an di Kuala Perlis seterusnya seorang lagi lelaki di Simpang Empat dekat sini pada Sabtu lalu.
Susulan tangkapan itu, polis menahan tiga lagi lelaki di sekitar Langkawi dan Kuala Perlis pada keesokan harinya.
Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, ganja diseludup masuk dari negara jiran menggunakan bot nelayan tersebut untuk dipasarkan ke Pulau Pinang dan dibawa ke sana menggunakan jalan darat.
Katanya, kesemua suspek terdiri daripada nelayan dan juga penganggur berumur antara 20 hingga 40 tahun itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak awal tahun lagi. – K! ONLINE