fbpx

KFA selesai gaji skuad Helang Merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SANUSI (duduk di tengah) mempengerusikan Mesyuarat Eksekutif KFA Ke-8 bagi memutuskan kaedah melunaskan tunggakan gaji, caruman serta lain-lain bayaran secara berperingkat di Alor Setar malam kelmarin. – FACEBOOK KEDAH FA

Oleh MOHD RAFIE AZIMI

PARA pemain dan barisan kejurulatihan skuad Helang Merah setidak-tidaknya boleh menarik nafas lega setelah Mesyuarat Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Ke-8 malam kelmarin memutuskan untuk melunaskan tunggakan gaji, caruman serta lain-lain bayaran secara berpe­ringkat.

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, bayaran gaji Mac akan diselesaikan sebelum 15 Ogos depan manakala tunggakan bagi April, Mei, Jun dan Julai akan dimaklumkan penyelesaiannya setelah rundingan dilakukan dalam masa terdekat.

“Satu jawatankuasa khas kewangan akan dibentuk untuk mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan tunggakan gaji tersebut.

“Jawatankuasa itu akan mencari kaedah bagi mewujudkan situasi menang-menang antara pihak persatuan dan pemain memandangkan Liga Super 2020 akan bersambung pada 26 Ogos depan,” kata Menteri Besar Kedah itu dalam satu kenyataan di Alor Setar semalam.

Isu yang melanda skuad Kedah hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini dengan beberapa pemain mula membuat pendedahan di media sosial masing-masing berikutan tidak menerima gaji selama lima bulan.

Keadaan itu menyebabkan ada dalam kalangan pemain mula berkira-kira untuk meng­angkat kaki dengan tiga awang import dikatakan telah mendapatkan khidmat peguam bagi menamatkan kontrak secara sebelah pihak, jika isu tersebut tidak diselesaikan dalam masa terdekat.

Sanusi menambah, mesyua­rat tersebut turut bersetuju mengekalkan pengurusan pasukan sedia ada sehingga tamat musim ini.

“Begitu pun jumlah lantikan dalam pasukan akan dikaji semula selepas ini. Ketika ini terdapat 48 individu terdiri daripada pemain dan pegawai yang dirumuskan menjurus kepada peningkatan bajet pasukan,” katanya.

Sanusi berkata, KFA memerlukan minimum RM25 juta untuk melengkapkan operasi dan pengu­rusan pasukan bagi musim ini.

Katanya, punca masalah dana penajaan tertunggak sebelum ini adalah pelaksanaan tanggungjawab secara bersendirian atau one man show dalam soal penajaan, pengurusan kewangan, penentuan gaji pemain dan pengurusan pasukan.

“Tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) saja setakat ini berjumlah RM3.8 juta dan perlu diselesaikan segera.

“Justeru kita mengambil tindakan drastik dengan menu­buhkan jawatankuasa khas ke­wangan bertujuan mengatasi beban hutang sejak September 2019. Jawatankuasa itu juga berfungsi untuk mendapatkan penajaan baharu termasuk menjalankan rundingan berhubung perkara itu,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengumumkan pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Firdaus Ahmad sebagai Setiausaha KFA yang baharu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI