PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) mewartakan Yan, Kedah sebagai salah sebuah Pelabuhan Persekutuan pada 10 Mei lalu.
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, perisytiharan itu adalah di bawah Seksyen 5, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Beliau berkata, perisytiharan itu menetapkan suatu had pelabuhan membabitkan keluasan perairan 600 kilometer (km) persegi dengan mengambil kira jarak sejauh lebih kurang 20 batu nautika dari pantai Yan di bawah Seksyen 6 Ordinan yang sama.
“Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) telah berhasrat untuk melakukan aktiviti perkapalan dan pembangunan di pesisiran Pulau Bunting yang terletak di Perairan Yan, Kedah.
“Pembangunan di Yan sebagai sebuah pelabuhan dijangka meningkatkan aktiviti perkapalan di perairan tersebut dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan serta membangunkan kawasan sekitar daerah itu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya, cadangan pembangunan ini turut dapat menyokong pembangunan industri perkapalan serta memajukan sektor pelancongan sekali gus berupaya menjana ekonomi negara amnya dan Kedah khususnya.
Ka Siong berkata, pelabuhan ini juga akan dikawal selia oleh Jabatan Laut Malaysia (JLM), selaku agensi utama di bawah MOT yang bertanggungjawab mengawal selia isu-isu berkaitan perkapalan dan keselamatan pelayaran termasuk pelabuhan.
Menurutnya, JLM akan memastikan keselamatan aktiviti dan trafik perkapalan di perairan tersebut termasuk menetapkan ruang laluan selamat, selesa dan bersesuaian di kawasan pelabuhan.
“Pewartaan dan pembangunan aktiviti perkapalan ini juga adalah sejajar dengan Belanjawan 2021 yang memperuntukkan sebanyak RM780 juta kepada lima koridor wilayah pembangunan ekonomi bagi projek-projek pembangunan yang akan diteruskan pada tahun 2021,” katanya.
Ujarnya, peruntukan itu termasuk pembinaan infrastruktur dan komponen projek Zon Pembangunan Khas di Yan dan Baling, Kedah di bawah NCER yang dilihat akan memberi manfaat besar kepada rakyat dan menyokong momentum pertumbuhan ekonomi negara. – K! ONLINE