PETALING JAYA – Selebriti media sosial atau instafamous yang kini bergelar pelakon, Sharifah Rose tidak ambil hati dan sedia menerima kritikan terhadap mutu lakonannya.
Sharifah atau nama sebenarnya, Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd. Mazfira, 23, berkata, dia juga tidak pernah serik dan akan terus berlakon selagi diberi peluang dan kepercayaan daripada penerbit drama.
“Pada pandangan saya, kecaman dan teguran itu perlu. Dari situ, saya akan melihat semula kesilapan dan apa yang perlu ditambah baik dalam lakonan. Tiada manusia yang sempurna.
“Selagi diberikan kepercayaan dan peluang, saya tidak akan serik untuk berlakon. Ini hanyalah permulaan karier lakonan saya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Sharifah yang lebih mesra disapa sebagai Rose memberitahu, dia menyifatkan kecaman netizen yang dilemparkan kepadanya sebagai satu bentuk nasihat dan pandangan demi kelangsungan karier seninya.
Terdahulu, keterujaan Sharifah berkongsi lakonan perdananya menerusi drama bersiri Kekasih Hati Mr. Bodyguard menerima kecaman netizen sehingga ada yang melabelkan dirinya sebagai kayu.
Tidak cukup dengan itu, Sharifah yang gandingan bersama pelakon Redza Rosli turut dikecam kerana gedik dan sekadar tangkap muat.
“Oh Sharifah Rose ke? Ingatkan pokok mana tadi. Kayu betul. Kasihan Redza Rosli cakap sorang-sorang.
“Macam mana dia boleh dapat tawaran (berlakon),” tulis netizen.
Dalam pada itu, di sebalik komen-komen nista yang ditinggalkan, ada pengikut yang memuji usaha Sharifah dalam dunia lakonannya.
“Dia baru berjinak-jinak dalam dunia lakonan. Ada juga pelakon lain semasa di awal kemunculan kayu juga. Beri dia masa,” komen netizen.
Drama bersiri 20 episod arahan sutradara Nizam Zakaria itu bersiaran setiap hari Rabu hingga Sabtu pada pukul 9 malam menerusi slot Lestary TV3.
Sebelum ini juga, nama Sharifah menjadi panas apabila terpalit isu lambakan instafamous jadi pelakon yang lantang disuarakan beberapa artis senior seperti Izara Aisyah, Tony Eusoff, Rusdi Ramli dan Rita Rudaini.
Untuk rekod, Sharifah mula dikenali ramai sebagai instafamous dan model sambilan beberapa tahun lalu.
Gadis itu juga pernah menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi Ismail Izzani.