PETALING JAYA – Sambutan hari raya Aidilfitri penyanyi Tasha Manshahar tidak lagi indah selepas ibu bapanya disahkan positif Covid-19.
Tasha atau nama sebenarnya, Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar, 29, yang berkongsi berita duka tersebut dalam Instagramnya berkata, ibunya, Herina Wong Abdullah yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang terpaksa dikomakan.
Sementara, bapanya, Mohd Manshahar kini berada dalam keadaan stabil dan menjalani tempoh kuarantin kendiri di kediaman mereka.
“Paru-paru mummy (ibu) ada jangkitan, paras oksigen dalam badan pun tidak okey, jadi doktor kena ‘tidurkan’ (dikomakan) dia dan masukkan tiub untuk bantu pernafasan sehingga keadaan kembali stabil.
“Kami pun tidak sangka sehingga jadi begini. Ketika dimasukkan ke hospital, dia nampak sihat sahaja tetapi alhamdulillah ayah pula nampaknya semakin sihat,” tulisnya dalam InstaStory.
Dalam pada itu, penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Terima Kasih Cinta itu berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan ibu bapanya.
“Apa-apa pun kami sekeluarga yakin yang menyembuhkan itu Allah SWT. Mummy pun kuat semangat, saya percaya mummy boleh harunginya.
“Terima kasih untuk semua doa-doa kalian. Semoga Allah SWT memberi ganjaran pahala besar kepada kalian,” katanya lagi. – K! ONLINE