fbpx

YPM buat laporan polis isu buang biskut raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lambakan biskut yang ditemui seorang pengguna Facebook di Jalan Kampung Baharu Jenderam, Dengkil kelmarin.

PETALING JAYA – Yayasan Pendidikan Malaysia (YPM) membuat laporan polis berhubung isu pembuangan sisa biskut raya di Jalan Kampung Baharu Jenderam, Dengkil yang tular Ahad lalu.

YPM di laman Facebook berkata, laporan polis itu dibuat setelah diberikan nasihat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) selain bertujuan memberi penjelasan tentang perkara sebenar kepada umum.

“Ia juga dibuat bagi membersihkan nama dan imej YPM serta Pertubuhan Orked Penyayang.

“Pihak YPM menyeru orang ramai untuk berhenti daripada membuat sebarang spekulasi dan andaian yang boleh menimbulkan fitnah dan mencemar nama YPM dan Pertubuhan Orked Penyayang kerana kes ini masih dalam siasatan pihak berwajib,” katanya hari ini.

Terdahulu, menerusi satu rakaman video, YPM menafikan pihaknya serta Pertubuhan Orked Penyayang merupakan dalang yang membuang bekas dan sisa biskut tersebut seperti yang dipertikaikan oleh netizen.

Kata wakil YPM, Mardhiah Khalid, biskut tersebut dihasilkan oleh sebuah hotel dan mereka hanya berperanan mempromosi dan menjualnya menerusi laman Facebook pada tahun lalu, namun langsung tidak menyimpan stok biskut raya itu.

“Kami juga tidak dimaklumkan berapa jumlah kuih yang telah dihasilkan pihak sana ataupun berapa bilangan pelekat yang menggunakan logo YPM oleh pihak sana,” katanya.

Gambar-gambar sisa biskut itu tular setelah dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook bernama Ahmad Fahmi yang kemudian dikongsi di laman Jabatan Netizen Negara.

Hantaran Ahmad Fahmi itu telah dikongsi lebih 1,800 kali oleh pengguna Facebook yang kecewa dengan lambakan biskut hari raya dengan tarikh luput 18 Disember 2020 berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI