PETALING JAYA – Seorang wanita kelainan upaya (OKU), P. Sarah Kalaivani, 32, diberikan tempat tinggal oleh penceramah popular, Ebit Lew hari ini.
Menurut Ebit, wanita dengan penyakit borderline personality disorder dan rheumatiod artritis tersebut telah hilang tempat tinggal, malah hidup seorang diri.
“Masa jumpa tadi sedih rasa sebab Sarah baik sangat tetapi betul-betul susah. Sentiasa dapatkan rawatan bulanan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
“Beliau mohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Projek Perumahan Rakyat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur namun belum dapat. Banyak tekanan hidupnya,” katanya di akaun Facebooknya hari ini.
Menurut Ebit, wanita tersebut pernah bekerja di bahagian pentadbiran secara kontrak di sebuah syarikat serta menjadi model separuh masa sebelum jatuh sakit.
“Sarah sebak apabila saya terus ingin beri tempat tinggal dan akan bayarkan sewa bulanan secara tetap. Tadi sempat bawanya membeli-belah pakaian dan kelengkapan rumah yang lain. Saya belikan juga televisyen hadiah untuknya.
“Sementara cari rumah tadi, kami makan di tepi hentian bas. Saya tanya selalu makan macam ini, katanya ‘selalu dulu ustaz’. Masa nak balik tadi beri sedikit duit belanja,” ujarnya.
Menurut Ebit, Sarah Kalaivani sedang mencari kerja di bahagian pentadbiran atau kerja dari rumah.
Tadi saya sempat tengok resume dan sijil-sijil Sarah. Semoga dimudahkan semuanya,” katanya lagi. – K! ONLINE