PETALING JAYA – Selebriti sensasi, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA lantang menyelar Neelofa yang sekali lagi dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila berkumpul dengan keluarga besarnya pada Aidilfitri.
Seperti kebanyakan rakyat Malaysia, Azwan atau nama lengkapnya, Mohamed Azwan Ali marah dan tidak berpuas hati dengan tindakan selebriti berkenaan yang kali ketiga melanggar SOP tatkala negara masih bergelut dengan wabak Covid-19.
Adik kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu turut menggesa dan mencadangkan agar Neelofa dikenakan hukuman penjara atas kesalahan yang dilakukannya.
“Saya nak jadi orang rakyat pertama gesa kerajaan untuk penjarakan selebriti perasan bagus ini. Siapa setuju? Kasi (bagi) viral (tweet) ini.
“Dua kali dah kau gelupur langgar SOP. Ini kecoh kali ketiga. Lagi-lagi muka kau. Muhasabah weh, kerana kau rakyat tersinggung dan marah. Apa sumbangan besar kau pada industri hiburan Malaysia!,” getus Azwan melalui Twitter miliknya.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan keluarga Neelofa sekali lagi menjadi perhatian dan bualan netizen apabila didakwa melanggar SOP Aidilfitri yang ditetapkan.
Sebuah video yang dimuat naik kakak Neelofa, Noor Nabila tular dalam laman Twitter selepas dirakam dan dikongsi netizen sejak tengah hari semalam.
Video berdurasi 27 saat itu jelas menunjukkan ahli keluarga Neelofa berkumpul pada pagi Syawal dan sedang bersalaman meminta maaf antara satu sama lain.
Barangkali sedar video yang dimuat naik mencetuskan amarah netizen, tidak lama selepas itu, Noor Nabila memadam video berkenaan dari Instagram. – K! ONLINE