JEMPOL – Seramai 12 warga asing yang menaiki sebuah lori dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 setiap seorang selepas didapati tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri dalam satu pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) Outer 12, Kilometer 1, Jalan Rompin, Negeri Sembilan – Pasir Besar, Gemas, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, majikan bagi pekerja asing itu akan dipanggil untuk membantu siasatan dan majikan boleh dikompaun RM10,000 di bawah Kesalahan 17(1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021 kerana tidak menggunakan kenderaan yang sesuai bagi penjarakan sosial pekerja.
Menurutnya, seorang lagi individu yang turut sama berada di dalam lori berkenaan pula ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
“Warga asing yang terdiri daripada enam warga India dan tujuh Bangladesh itu dikesan dalam satu pemeriksaan lanjut ke atas sebuah lori jenis Delta berwarna putih dari arah Rompin menghala ke Pasir Besar kira-kira pukul 5.30 petang.
“Selepas kenderaan diperiksa, pemandu lori iaitu lelaki rakyat tempatan berusia 52 tahun ditemani penumpang hadapan seorang lelaki warga asing dan terdapat 12 lelaki juga warga asing berusia lingkungan 20-an hingga 40-an berada di belakang lori,” katanya, dalam satu kenyataan, di sini, tadi.
Chang Hook berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke Balai Polis Rompin untuk tindakan lanjut kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah serta melakukan kesalahan dibawah Peraturan 4(1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan-peraturan pencegahan kerana tiada mempunyai surat kebenaran rentas negeri daripada pihak PDRM.
“Semakan mendapati kesemuanya merupakan pekerja bagi sebuah syarikat yang dilantik bagi menjalankan kerja-kerja pemasangan menara dari Mukim Jabi, Daerah Segamat hingga Mukim Serting Ilir, Daerah Jempol. – K! ONLINE