TAMPIN – Rutin kerja seorang pekerja ladang MBI Hantaran Kurnia Sdn. Bhd. di Gemas dikejutkan dengan penemuan bom lama di kawasan ladang berkenaan, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, pihak polis menerima maklumat dari pekerja berusia 36 tahun itu kira-kira pukul 6.54 petang dan segera ke lokasi kejadian bagi mengenalpasti lokasi bom ditemui berkenaan.
Sebagai langkah awal katanya, polis telah memasang tali rintangan polis bagi menghalang orang awam dari memasuki lokasi berkenaan.
“Jenis bom yang ditemui adalah ‘artillery shell’ berukuran kira-kira 42 sentimeter dan dipercayai merupakan bom peninggalan perang dunia kedua.
“Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan telah berjaya memusnahkan bom berkenaan dengan selamat di kawasan kebun berkenaan kira-kira pukul 10.14 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi, di sini, tadi.-K! ONLINE