KAPTEN pasukan Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abd. Radzak optimis benteng pertahanan skuad negara masih ampuh walaupun tanpa kehadiran tonggak berpengaruh, Shahrul Saad yang terpaksa diketepikan ekoran kecederaan.
Sebagai rekod, skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe kini sedang melakukan persiapan untuk mengharungi baki tiga perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 peringkat Kumpulan G di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bulan depan.
Bagaimanapun, pasukan Harimau Malaya menerima tamparan hebat apabila pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengalami kecederaan sekali gus diketepikan daripada kem latihan pusat kali ini.
Kata Aidil, bekas pemain pasukan Perak FC itu sememangnya memiliki kualiti tersendiri selepas sering menjadi pilihan untuk bergandingan dengannya di posisi tengah skuad Harimau Malaya sejak beberapa tahun lepas.
“Saya akui sering bergandingan dengan Shahrul sebelum ini dan tiada siapa boleh menafikan kualiti yang dimilikinya kerana sentiasa komited di atas padang.
“Namun, saya percaya pemain-pemain lain yang dipanggil seperti Adam (Nor Azlin), Junior (Eldstal) dan Dominic (Tan) juga memiliki kelebihan masing-masing kerana saya turut berpengalaman bergandingan dengan mereka.
“Justeru, saya percaya daripada aspek kesefahaman, tidak akan timbul masalah tetapi mungkin sudut taktikal dan teknikal mungkin sedikit berbeza oleh jurulatih (Cheng Hoe) nanti,” katanya pada sidang akhbatr secara virtual semalam.
Buat masa ini, skuad negara menduduki tangga kedua Kumpulan G selepas mengharungi lima perlawanan dengan mengutip sembilan mata apabila merekodkan tiga kemenangan pada aksi kelayakan yang berlangsung hampir dua tahun lalu.