PETALING JAYA – Program pelesenan Lim Tayar Family (LTF) bakal memberi peluang kepada usahawan untuk menguruskan perniagaan melalui jenama terkenal, Lim Tayar.
Pengarah Urusan Bersama CKL Group, Clement Lim berkata, menerusi program tersebut, peserta akan menerima kepakaran dan sokongan untuk memajukan serta menguruskan perniagaan dalam bidang penyediaan perkhidmatan berkaitan automotif.
Menurutnya, program yang mirip seperti konsep francais itu telah memberi kelonggaran kepada usahawan untuk menawarkan perkhidmatan atau kepakaran dalam bidang lain selain daripada yang ditawarkan oleh Lim Tayar.
“Faedah lain termasuklah sokongan stok seperti tayar, minyak enjin, alat ganti, bateri, pemasaran serta solusi operasi perniagaan yang menyeluruh meliputi sistem titik jualan, senarai harga tetap serta premis perniagaan lengkap dan terletak di lokasi strategik.
“Pelan pembiayaan fleksibel, termasuk pelan ansuran untuk yuran pelesenan juga disediakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Lim menjelaskan, peniaga telah menghadapi banyak rintangan disebabkan pandemik, justeru pihaknya mewujudkan LTF bagi menawarkan bantuan kepada pemilik yang menantikan peluang perniagaan lebih baik.
“Program ini disesuaikan untuk sesiapa yang ingin mengembangkan perniagaan mereka melalui sokongan daripada salah satu pusat sehenti servis kenderaan terbesar di Malaysia.
“Bersama syarikat gabungan kami, School of Skills yang menawarkan latihan teknikal vokasional, kami yakin dapat membantu rakan kongsi untuk membina kemahiran kakitangan mereka dan mengurangkan masalah tenaga kerja yang dihadapi industri ini,” jelasnya.
Pengenalan LTF juga bermakna Lim Tayar akan mengembangkan perkhidmatan dan rangkaiannnya ke seluruh negara, daripada 18 pusat servis di Lembah Klang dan satu di Seremban ketika ini.
Inisiatif terbaharu itu disokong oleh rakan niaga Lim Tayar yang lain seperti Castrol, Nokian, Interstate, Bendix dan 3M.