fbpx

Ikuto sudah lali dikecam netizen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IKUTO mendedahkan bahawa persediaan sebelum mengulas sangat penting supaya pengulas tidak hanya bersembang kosong.

Gembira ulasan e-Sukan berbahasa Melayu akhirnya diterima ramai

PENGULAS e-Sukan, Radzi Rahman Ibrahim pernah menjadi bahan hentaman dan makian penonton-penonton yang menyaksikan ulasannya untuk pertandingan permainan video sama ada secara online atau menerusi kaca televisyen.

Radzi atau dikenali sebagai Ikuto mengakui berdepan cabaran hebat sewaktu kali pertama mengulas e-Sukan berbahasa Melayu untuk permainan video League of Legends (LoL) lima tahun lalu.

Bagi pemuda berusia 28 tahun itu, dia terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk mendidik penonton menerima ulasan berbahasa Melayu yang kede­ngaran pelik pada awalnya ke­rana ulasan berbahasa Inggeris sering digunakan sebelum ini.

“Benda baharu contohnya, permainan Mobile Legends di­ulas dalam bahasa Melayu, penonton tidak biasa mende­ngarnya. Orang kata peliklah dan bunyi tidak sedap.

“E-Sukan boleh dikatakan industri besar di Malaysia yang boleh mencecah 10,000 hingga 15,000 jumlah penonton seperti Mobile Legends. Apabila ramai orang tengok, lagi teruklah saya kena hentam.

“Ramai juga yang tidak suka saya selepas habis liga musim pertama. Kena kutuk, hentam, maki itu perkara biasa dan saya sudah bersedia sebab sudah jangka perkara seumpama itu akan berlaku,” katanya.

IKUTO (kiri) bukan sahaja boleh mengulas tetapi mampu menganalisis permainan video seperti Mobile Legends, LoL, Call of Duty dan PUBG.

 

Bagaimanapun, Ikuto meluahkan rasa lega kerana ulasan berbahasa Melayu bukan sahaja sudah diterima oleh penggemar permainan video, malah boleh dijadikan sebagai karier dalam industri e-Sukan.

Bagaimanapun, Ikuto yang mempunyai Ijazah Sarjana Sains Fizik menjelaskan, cabaran pa­ling hebat dihadapinya sebagai pengulas e-Sukan adalah pe­nerimaan keluarganya terhadap bidang pilihannya itu.

Menurutnya, dia terpaksa memujuk dan meyakinkan mereka bahawa gaji sebagai pengulas e-Sukan sebenarnya mampu me­nyara hidupnya kerana industri berkenaan semakin berkembang dan boleh menjana pendapatan.

“Sudah tentu keluarga mahu kita bekerja berdasarkan apa yang kita belajar. Keluarga saya tak berminat sangat saya mengulas dalam e-Sukan.

“E-Sukan sedang meningkat maju dan boleh dikatakan hampir setiap minggu akan ada program, lagi-lagi sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) baru-baru ini,” jelasnya.
Pengulas dari Taiping, Perak itu turut berkongsi beberapa tip supaya tidak kelihatan bodoh ketika mengulas, sekali gus menjadi bahan kecaman netizen.

“Dahulu saya kurang bersedia, berterabur berbanding sekarang. Persediaan sebelum mengulas sangat penting supaya kita tidak hanya bersembang kosong.

“Saya akan minta seminggu atau dua minggu untuk belajar dahulu permainan baharu sebelum saya mengulas. Kalau kita mahu menampakkan ulasan kita bagus, kenalah berkorban sedikit,” katanya.

Sebagai rekod, Ikuto bukan sahaja boleh mengulas, tetapi mampu menganalisis serta menjadi hos kepada pertandingan-pertandingan e-Sukan seperti Mobile Legends, LoL, Call of Duty dan Playerunknown’s Battleground (PUBG). – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI