SENYUMAN meleret pada wajah pasangan selebriti, Siti Sarah Raissuddin dan Shuib saat menyahut salam daripada penulis baru-baru ini.
Masakan tidak, rona bahagia sukar disembunyikan tatkala penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Pun Sama itu disahkan hamil anak keempat selepas enam tahun melahirkan anak ketiganya, Ariq Matin.
Sarah dan Shuib, masing-masing cukup teruja dengan rezeki kurniaan Allah, tetapi dalam masa sama turut berdebar kerana kehamilan kali ini berlaku pada usia Sarah menjangkau angka 37 tahun.
Bermakna, kehamilan yang kini menjangkau usia lebih empat bulan itu lebih berisiko berbanding tiga kehamilan terdahulu.
“Sejujurnya, kehamilan kali ini agak mencabar mungkin kerana faktor usia. Kami memulakan keluarga agak lambat iaitu pada usia saya 27 tahun dan sekarang sudah 37 tahun, jadi saya lebih cepat berasa letih,” tutur Sarah membuka bicara.
Kebiasaannya, Sarah akan mengalami alahan yang begitu teruk pada setiap kehamilan, namun kali ini agak berbeza.
Pelik tetapi benar, namun itulah yang berlaku. Menurut Shuib, pada peringkat awal kehamilan, alahan teruk yang sepatutnya dialami Sarah telah berpindah kepada ibunya yang berada di Johor.
Jelas Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, 37, beberapa tahun sebelum kehamilan keempat ini, isterinya ada membuat perjanjian andai mereka dikurniakan rezeki anak sekali lagi, Sarah mahu suaminya menanggung semua alahan yang dialaminya.
“Saya tertanya-tanya, bagaimana rasanya alahan? Jadi, apabila Sarah disahkan hamil, saya berdebar ada atau tidak alahan yang akan saya alami. Alhamdulillah, saya tidak alami sebarang alahan kerana semua itu telah berpindah kepada ibu saya di kampung.
“Ketika menelefon ibu, dia begitu marah kerana sampai lembik jadinya gara-gara alami alahan. Ibu kata, dia tidak boleh menjamah sebarang makanan kerana pasti akan muntah semula. Sebulan lebih juga ibu harus menanggung alahan tersebut.
“Paling kelakar apabila ibu ke klinik, doktor memberinya ujian alat kehamilan (ketawa). Walhal ibu sudah menopaus dan tidak bersuami. Katanya, dia sudah berusia 57 tahun, tidak perlu berinya rasa hamil lagi,” ujar Shuib sambil tertawa.
Tambah Sarah pula, selepas lebih sebulan, segala alahan yang dialami ibu mentua kembali kepadanya, namun tidaklah terlalu teruk.
“Apa yang saya alami ketika hamil, ibu turut merasainya. Termasuklah saya boleh makan buat oren sahaja ibu juga begitu. Alhamdulillah, sekarang alahan sudah berbalik kepada saya, tetapi sewaktu teruk ibu mentua yang alaminya.
“Memang pelik, biasanya saya hanya dengar cerita orang sahaja seperti suami yang alami alahan. Sekarang berlaku pada diri sendiri, saya agak terkejut,” luah Sarah.
Hilang suara
Meskipun sedang berbadan dua, ibu kepada Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra dan Ariq Matin itu tetap bekerja seperti biasa.
Selain menyanyi, Sarah memiliki tanggungjawab yang begitu besar dalam empayar perniagaan yang dibinanya iaitu Ratasya Cosmetics, Loveta dan Ratasya Care.
Justeru, dia tidak boleh mementingkan diri meskipun terasa letih dengan keadaan berbadan dua.
“Saya tidak boleh melayan perasaan penat hamil kerana perlu bekerja. Perniagaan saya berasaskan sistem ejen dan stokis, tanggungjawab saya amat besar terutama dengan keadaan seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19.
“Ada antara mereka yang mengharapkan 100 peratus pendapatan daripada perniagaan ini. Suka atau tidak, saya perlu berkorban.
“Insya-Allah, saya selalu berdoa, jika saya mempermudahkan urusan orang lain, Allah akan menjaga saya,” tutur Sarah.
Menyambung bicara tentang kerjaya seninya pula, Sarah terpaksa menangguhkan rakaman single terbaharu ciptaan Naim Daniel ke tahun hadapan.
“Mulanya, saya yakin untuk melakukan sesi rakaman, tetapi lagu ini agak besar. Sekarang hendak bercakap pun saya berasa letih, apatah lagi menyanyi. Emosi saya juga tidak stabil kerana sepatutnya lagu tersebut disusun oleh sahabat saya, pengarah muzik, arwah Lok-U.
“Namun, arwah meninggal dunia dan tidak sempat menghantar susunan lagu tersebut. Oleh itu, saya meminta pihak pengurusan membuat susunan lagu yang baharu. Saya pula akan bersalin sekitar Oktober atau November. Jadi, tahun hadapan adalah waktu yang sesuai untuk sesi rakaman lagu,” kata Sarah.
Biarpun memiliki vokal yang mantap, Sarah mempunyai satu kebimbangan iaitu kehilangan suaranya selepas bersalin. Beritahu Sarah, perkara tersebut merupakan kelaziman buat dirinya selama ini.
“Saya pun tidah faham mengapa perkara ini berlaku. Setahu saya, memang ada sesetengah penyanyi mengalami masalah sama setiap kali melahirkan anak. Selepas berpantang saya perlu menghadiri kelas vokal semula untuk mendapatkan kembali suara asal,” tutur Sarah.
Raya PKP
Sementara itu, Shuib yang setia berada di sebelah Sarah turut meluahkan rasa kerinduan terhadap bidang seni selepas mengundur diri sebagai penyampai radio Hot FM pada Januari lalu. Dia juga berehat daripada muncul di televisyen kerana mahu fokus terhadap perniagaan.
“Sudah tentu saya rindu kerana hampir 12 tahun kerja dalam bidang seni dan membuat lawak. Sudah menjadi darah daging saya. Saya bukanlah bersara cuma memperlahankan rentak dalam bidang seni sahaja.
“Saya rindu perasaan gementar ketika membuat program secara langsung di televisyen dan radio. Saya juga rindu dengar pengarah sebut ‘action’ dan makan beramai-ramai di bawah khemah. Walaupun begitu, saya sedar saya mempunyai tanggungjawab yang besar dalam perniagaan,” kongsi Shuib yang kini mempunyai 700 orang pekerja.
Bukan sekali, tetapi sudah banyak kali jelas Shuib dia melakukan kesalahan yang sama iaitu tidak memberi fokus kepada perniagaan yang sedang berkembang. Akhirnya perniagaan yang dibina terkubur begitu sahaja.
Enggan kesalahan yang sama berulang, Shuib sanggup mengorbankan kehendak dan rasa cintanya terhadap bidang seni.
“Saya masih menerima tawaran untuk berlakon dan muncul dalam program sehingga ke hari ini. Ikutkan rasa rindu dan gian untuk muncul di televisyen mahu sahaja saya terima. Namun, saya tidak mahu perniagaan yang dibina jatuh seperti perniagaan-perniagaan sebelum ini,” katanya yang kini memiliki 36 buah cawangan Bubblebee di seluruh Malaysia.
Merancang mahu membuka 100 cawangan Bubblebee pada tahun ini di Malaysia dan mahu mengembangkan lagi perniagaan ke Singapura, Brunei dan Indonesia, semua agenda tersebut membuatkan Shuib semakin sibuk.
“Sekarang saya sedang menikmati kesibukan yang luar biasa. Saya ingatkan jika tidak kerja di radio dan muncul di televisyen, saya akan mempunyai banyak masa, rupanya salah.
“Mahu sampai ke peringkat antarabangsa, saya sudah mula fikir perkara-perkara yang tidak pernah difikirkan sebelum ini. Strateginya sudah berbeza apabila perniagaan semakin besar. Kadang-kala saya terasa seperti melihat drama dalam televisyen yang sebut perniagaan berjuta-juta (ketawa),” terang Shuib.
Menyentuh tentang sambutan lebaran dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan 3.0, Sarah dan Shuib tetap beraya seperti biasa.
“Sudah dua tahun raya PKP, jadi tidak terasa sangat cuma tahun ini tiada aktiviti ziarah,” kata Sarah.
Sebelum menutup bicara, Shuib terpanggil bersuara tentang kes yang selalu menjadi tular ekoran kedegilan semua, termasuk dalam kalangan artis.
“Cuma dalam keadaan kes Covid-19 sedang meningkat naik, saya berharap semua pihak dapat beraya dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Walau tidak semeriah dahulu, bersyukurlah kita masih lagi dapat menyambut raya dengan keluarga,” kata Shuib.