KEMAMAN – Kedegilan dua lelaki yang tegar bersarapan pagi di sebuah kedai makan di bandar Chukai di sini menerima padah apabila mereka dikompuan RM2,000 setiap seorang hari ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pengusaha kedai makan itu yang berusia 50-an turut tidak terlepas apabila dikompaun RM10,000 kerana membenarkan pelanggan makan di dalam premisnya.
“Kedai makan itu diserbu sepasukan anggota polis selepas mendapat maklumat masih membenarkan pelanggan makan di dalam premis yang menyalahi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Mungkin kerana lokasinya agak tersorok di belakang bangunan menyebabkan pengusahanya berfikiran perbuatannya tidak dapat dihidu oleh pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Hanyan berkata, serbuan mengejut tersebut membuatkan dua lelaki berusia 35 tahun berkenaan yang sedang enak menikmati sarapan tergamam.
Beliau berkata, kompaun dikeluarkan terhadap dua pelanggan tersebut dan pengusaha kedai makan itu setelah pemeriksaan polis berpuas hati mereka melanggar SOP PKP yang sedang dikuatkuasa. – K! ONLINE