KEMAMAN – Seorang juruteknik maut selepas dihempap sebatang paip saluran gas seberat hampir lapan tan di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa, Ahmad Shahir Hasauddin, 29, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan akibat ditimpa paip saluran gas sepanjang lebih 12 meter tersebut.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sewaktu kejadian, Ahmad Syahir yang berasal dari Kampung Paya Berenjut, Chukai di sini sedang mengecat salah sebuah paip saluran gas yang baru dikimpal di dalam bengkel fabrikasi di kawasan perindustrian tersebut.
“Sewaktu mangsa sedang melakukan kerjanya tiba-tiba sebatang paip saluran gas yang berada berhampiran bergolek sebelum terjatuh ke bawah.
“Dia yang sedang dipercayai berada dalam posisi mencangkung sewaktu kejadian gagal mengelak lalu dihempap paip saluran gas berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Hanyan berkata, rakan sekerja Ahmad Syahir yang menyedari kejadian itu gagal menyelamatkan mangsa sebelum memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dikeluarkan anggota bomba dengan menggunakan jentera forklif setelah paip saluran gas yang diperbuat daripada besi tersebut berjaya dikeluarkan. – K! ONLINE