PETALING JAYA – Belum reda isu rentas negeri dan karpet, keluarga Neelofa sekali lagi menjadi perhatian dan bualan netizen apabila didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri yang ditetapkan.
Terbaharu, sebuah video yang dimuat naik kakak Neelofa, Noor Nabila tular dalam laman Twitter selepas dirakam dan dikongsi netizen sejak tengah hari tadi.
Video berdurasi 27 saat itu jelas menunjukkan ahli keluarga Neelofa berkumpul pada pagi Syawal dan sedang bersalaman meminta maaf antara satu sama lain.
Bagaimanapun, tinjauan Kosmo! Online mendapati video berkenaan telah dipadam Noor Nabila dalam Instagramnya.
“1 Syawal yang penuh mulia,” tulis Noor Nabila sebagai kapsyen.
Menjengah ke laman Twitter, rata-rata netizen meninggalkan komen berbaur kemarahan dan tidak puas hati selain mempertikaikan tindakan keluarga itu.
“Wah seronoknya. Betul-betul kebal geng ni.
“Meriahnya. Kita nak jumpa keluarga yang dekat pon takut. Puak-puak ni siap boleh cium mulut dan laga-laga pipi lagi. Demo (mereka) semua mari dari kayangan ke,” luah netizen.
Terdahulu, kerajaan menerusi SOP yang diputuskan tidak membenarkan sebarang aktiviti kunjung-mengunjung pada Hari Raya Aidilfitri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Sebelum ini, Neelofa pernah mencetuskan kontroversi selepas melanggar SOP dengan merentas negeri ke Pulau Langkawi di Kedah dan Nilai, Negeri Sembilan bersama suaminya, Haris Ismail. – K! ONLINE