PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya mengetatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya di Selangor susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu akhir-akhir ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, beliau secara peribadi bersetuju supaya prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dikuatkuasakan di Selangor memandangkan negeri itu kekal mendahulu kes tertinggi positif Covid-19 sejak beberapa minggu lalu.
“Selepas mengambil kira ketidakupayaan mengekang Covid-19 di Selangor, melaksanakan PKP penuh di negeri ini adalah satu perkara yang boleh dipertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mingguan mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), secara dalam talian hari ini.
Katanya, enam daerah di Selangor pernah diletakkan di bawah PKP pada awal Mei lalu sebelum pelaksanaan PKP 3.0 bermula 12 Mei lalu hingga 7 Jun depan.
Adham berkata, pelaksanaan PKP 3.0 membolehkan KKM melaksanakan lebih banyak ujian saringan, proses pengasingan dan rawatan bagi kes positif Covid-19 di negeri tersebut.
Semalam, Selangor mencatatkan jangkitan harian tertinggi dengan 1,275 kes dengan empat kluster baharu dilaporkan malah, negeri ini pernah merekodkan kes harian mencecah 2,000 kes pada 13 Mei lalu.
Sementara itu, Adham berkata, beliau mengingatkan warga Selangor supaya mengunjungi Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di daerah masing-masing.
“Saya menerima maklumat bahawa berlaku kesesakan di CAC Stadium Malawati akhir-akhir ini.
“Kami mengesan kehadiran kira-kira 1,700 kes sehari di CAC Stadium Malawati dan kebanyakan memberi alasan lebih selesa mendapat layanan di CAC itu.
“Pada masa sama, saya sudah arahkan supaya jumlah petugas ditambah di CAC itu bagi melancarkan operasi,” katanya. -K! ONLINE