PUTRAJAYA – Hanya vaksin jenis Pfizer disyorkan kepada ibu yang menyusukan bayi dan ibu mengandung bagi tempoh kandungan antara 14 hingga 33 minggu.
Perkara itu dijelaskan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam sidang akhbar mingguan mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), secara dalam talian, hari ini.
Khairy Jamaluddin berkata, beliau sudah meminta CITF supaya menyelaras agihan suntikan kepada kumpulan itu di hospital-hospital di seluruh negara.
“Kami juga mahu pakar ibu dan kanak-kanak supaya memastikan vaksin itu diberikan kepada ibu mengandung bagi tempoh kandungan yang disarankan itu.
“Saya juga ingin menjelaskan bahawa vaksin jenis Sinovac dan AstraZeneca tidak sesuai diberikan kepada golongan ini berdasarkan kajian klinikal yang dijalankan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Khairy Jamaluddin berkata, CITF sudah meluluskan satu permohonan bagi operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) industri kepada pekerja kilang memproses vaksin milik Pharmaniaga.
Menurutnya, vaksinasi akan diberikan kepada pekerja kilang berkenaan yang kini terlibat dalam tugas membotolkan vaksin jenis Sinovac.
“Pharmaniaga telah beli vaksin mereka sendiri untuk diberikan kepada pekerja kilang berkenaan.
“CITF meluluskan permohonan ini kerana ini adalah kilang vaksin dan kita tidak mahu kilang ini ditutup jika ada jangkitan kes Covid-19,” katanya.
Sementara itu, Khairy Jamaluddin berkata, CITF kini sedang melaksanakan program libat urus bagi agihan vaksin kepada warga emas yang menghuni pusat jagaan warga emas di seluruh negara.
Katanya, libat urus dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu penting bagi memastikan kumpulan warga emas itu turut diberi keutamaan suntikan vaksin.
“Program suntikan itu sudah pun bermula hari ini dimana pasukan CITF menjalankan program vaksinasi kepada dua buah pusat jagaan di Perak.
“Sebahagian vaksin AstraZeneca juga akan ditawarkan kepada warga emas di pusat jagaan warga emas ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mengesahkan seramai 17,535 warga emas di pusat jagaan warga emas di seluruh negara bersetuju menerima suntikan vaksin di bawah PICK. -K! ONLINE