fbpx

Upah RM20 bawa barangan kawalan untuk diseludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta membawa muatan barangan kawalan bersubsidi bernilai RM1,804 yang ditahan di Kampung Simpangan, Tumpat semalam.

TUMPAT – Hanya kerana mahukan upah sebanyak RM20 untuk setiap penghantaran, seorang lelaki ditahan selepas dipercayai membawa sebanyak 780 kilogram (kg) barangan kawalan seperti gandum, gula dan minyak masak dengan sebuah kereta di Kampung Simpangan di sini semalam.

Suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan dalam Op Benteng Covid-19 bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 pada pukul 4.30 petang.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Azanizam Affendi Juri berkata, ketika melakukan rondaan, anggotanya melihat sebuah kereta jenis Perodua Viva dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Kampung Jubakar ke Kampung Simpangan.

Katanya, suspek telah memberhentikan kereta sebaik menyedari diekori dan cuba untuk melarikan diri, namun berjaya ditahan.

“Pemeriksaan di dalam kereta itu membawa kepada penemuan sebanyak 50 kotak minyak masak dan tepung gandum serta 10 bungkusan mengandungi gula pasir kasar.

“Siasatan mendapati, semua minyak masak paket seberat 340 kg, tepung gandum (200 kg) dan gula pasir kasar (240 kg) yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM1,804,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azanizam, suspek mengaku menerima upah sebanyak RM20 bagi setiap penghantaran dari lokasi yang ditetapkan oleh individu tidak dikenali.

Katanya, semua barang kawalan bersubsidi itu dipercayai untuk diseludup ke negara jiran dengan menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI