PETALING JAYA – Pelakon, Zahiril Adzim, 37, menegur individu yang mengecam orang tidak berkongsi situasi semasa di Semenanjung Gaza menerusi laman sosial sebagai kurang prihatin.
Katanya, setiap insan mempunyai cara tersendiri untuk menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin yang kini bermandi darah berdepan serangan rejim Zionis.
“Kalau orang itu tidak post (muat naik) apa-apa tentang isu Palestin dalam platform media sosial, tidak bermakna dia tidak kisah atau tidak peduli.
“Tak perlulah kau marah, kecam atau ‘menganjing’. Relaks. Chill (tenang). Mungkin dia pulun dengan berdoa atau belanjakan wang ringgit dia untuk sumbangan.
“Bukan semua orang menghadap media sosial 24 jam macam kau,” kata bintang filem Juvana itu menerusi ruangan InstaStory Instagramnya, semalam.
Zahiril yang juga suami kepada pelakon Syera Aiyob turut berharap ketika umat Islam perlu mengelak daripada perpecahan terutama sewaktu berdepan suasana genting ketika ini.
“Ini waktu untuk umat Islam bersatu. Tidak perlu bangkitkan isu remeh untuk berpecah belah. Jangan jadi Melayu bodoh pada waktu begini. Kita sama berjuang cara kita,” katanya lagi.
Terdahulu, rentetan pengeboman udara rejim Zionis di kawasan Masjid Al Aqsa, Gaza pada 7 Mei lalu disusuli serangan darat terhadap rakyat Palestin, masyarakat dunia mula bangkit mengecam tindakan kejam tersebut menerusi platform digital masing-masing.
Golongan selebriti tempatan termasuk Faizal Tahir, Heliza Helmi, Diana Amir, Mizz Nina, Naim Daniel, Adibah Noor, Ahmad Fedtri Yahya dan ramai lagi tidak terkecuali lantang menzahirkan kemarahan terhadap Zionis.
Namun di tengah kegusaran dunia menanti kekejaman itu berakhir, ada juga individu cuba mencetuskan polemik dengan mengecam golongan yang tidak berkongsi isu terbabit dalam laman sosial sebagai tidak prihatin. – K! ONLINE