PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon Farahdhiya tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis sekiranya dia masih diganggu dengan mesej-mesej berbaur lucah oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya.
Perkara tersebut didedahkan oleh pelantun Bertakhta Dihati itu menerusi satu hantaran Instagram baru-baru ini dengan memuat naik tangkap layar mesej gangguan lucah yang diterimanya.
“Sayang punyalah susah saya cari alamat awak. Awak tinggal di kondominium tapi tidak pasti di mana. Saya hantar isyarat asap sahajalah jadi awak dapat lihat saya,” tulis lelaki berkenaan dala mesej tersebut.
Disebabkan gangguan tersebut, Farahdhiya mendakwa dia sudah hilang sabar apabila kerap menerima mesej berbaur lucah termasuk kiriman gambar kemaluan lelaki daripada individu tidak dikenalinya.
“Peringatan untuk lelaki diluar sana. Saya boleh terima anda sebagai peminat yang sukakan bakat saya dan saya amat menghargainya.
“Tapi saya sudah hilang sabar kepada lelaki yang menghantar mesej tidak senonoh kepada saya sejak hari pertama saya buka akauan Instagram,” tulisnya.
Ujar Farahdhiya atau nama sebenarnya Farahdhiya Mohd Amin, 37, selain diganggu dengan mesej-mesej tidak menyenangkan, dia juga kerap menerima kiriman gambar tidak senonoh berupa kemaluan lelaki.
“Macam-macam saya pernah dapat. Gambar anu (kemaluan), anu yang diletakkan atas gambar muka saya, mesej tidak senonoh tanpa henti walaupun bercakap sendiri (tidak dibalas Farahdhiya).
“Mesej yang saya kongsikan ini contoh sahaja sebab terlalu banyak yang dihantar, siap nak cari alamat rumah, nak jumpa ketika berjoging. Awak telah mengganggu ruang dan kehidupan privasi saya,” katanya kesal.
Disebabkan itu, pelakon berkulit putih melepak itu menganggap individu yang sering menggangu hidupnya merupakan lelaki psiko dan meminta mereka supaya berhenti daripada menghantui hidupnya.
“Saya tidak pernah kenal awak. Perbuatan awak salah dan menakutkan. Tinggalkan saya sendirian sebelum saya tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis.
“Bertahun-tahun saya sabar dengan perangai kurang ajar lelaki sebegini dalam media sosial. Cukuplah!” katanya.
Dalam pada itu, pelakon drama Spa Q itu memberi amaran supaya tidak mencabar dirinya, malah Farahdhiya akan terus melaporkan kepada polis jika dia diganggu lagi selepas ini.
Menjengah ke ruangan komen, ramai peminatnya meminta supaya Farahdhiya menjaga diri dengan baik dan sering berwaspada.
Selain Farahdhiya, beberapa artis wanita lain turut pernah mengalami pengalaman serupa diganggu dengan kiriman mesej-mesej lucah antaranya Zizi Kirana, Scha Elinnea dan Baby Shima. -K! ONLINE