fbpx

Ramai persoal Lebuh Raya Karak penuh kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar tular dikongsikan pengguna media sosial Facebook yang mempersoalkan mengapa terdapat begitu banyak kenderaan di Lebuh Raya Karak menghala ke ibu negara sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas walaupun dalam tempoh PKP.

GOMBAK – Pengguna media sosial Facebook hari ini mempersoalkan mengapa terdapat begitu banyak kenderaan melakukan perjalanan rentas negeri sehingga mengakibatkan kesesakan di Plaza Tol Gombak menghala ke ibu negara.

Menerusi satu kemas kini di Facebook, seorang pengguna memuat naik beberapa keping gambar memaparkan kesesakan di Lebuh Raya Karak dan mempersoalkan mengapa begitu banyak kenderaan berada di atas jalan raya dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dari pukul 8.30 malam 16 Mei hingga 1.30 pagi 17 May Lebuh Raya Karak menghala Kuala Lumpur, Plaza Tol Gombak sesak teruk, sementara itu semua lebuh raya lain semuanya sunyi. Takkan semua dari arah Pantai Timur ni perkahwinan jarak jauh (PJJ)?

“Dah lepas balik beraya, balik ke Lembah Klang semula? Duk main keluar masuk kawasan wabak? PKP apa benda macam ni tatkala orang lain berkurung dalam rumah tak balik kampung walau seberang daerah?,” soal beliau menerusi kemas kini tersebut.

Perkongsian yang dimuat naik kira-kira pukul 1 pagi tadi itu telah mendapat lebih 6,300 perkongsian dan kira-kira 2,000 komen daripada pengguna Facebook yang rata-ratanya bersetuju dengan kenyataan tersebut dan mempersoalkan perkara yang sama.

Seorang pengguna dengan nama M. Haniz mengecam kejadian tersebut dan menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertanggungjawab yang boleh menyumbang kepada peningkatan kes positif Covid-19.

“Lepas ni kes naik bukan main salahkan orang lain, salahkan kerajaan, Kementerian Kesihatan dan artis sedangkan kau hari raya bergaul tak ingat. Kesian lah orang macam aku ni ikut je cakap jangan balik kampung tak balik. Berapa lama lagi orang lain kena berkorban untuk orang yang pentingkan diri sendiri macam ini,” luahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, beliau berada di lokasi yang dinyatakan itu sejak pukul 5 petang semalam hingga 1 pagi tadi memantau Sekatan Jalan Raya (SJR) selain melakukan pemeriksaan teliti pada setiap kenderaan.

“Pemeriksaan yang dilakukan mendapati majoriti kenderaan yang diperiksa memiliki dokumen rentas negeri dan paling banyak adalah berkaitan urusan pulang ke universiti atau institusi pendidikan.

“Mereka yang gagal mempamerkan dokumen kebenaran melakukan perjalanan rentas negeri akan dikompaun malah malam tadi sahaja sebanyak 22 kompaun telah dikeluarkan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkongsian tersebut.

Menurut Arifai, kesesakan yang berlaku hanyalah kira-kira 3 kilometer susulan SJR yang dilakukan dan tidaklah terlalu serius seperti tahun-tahun sebelum ini yang kebiasaannya sejauh 20 hingga 30 kilometer walaupun tanpa SJR.

“Jadi komen tersebut adalah tidak tepat,”jelas beliau.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI