PETALING JAYA – Tempahan untuk vaksin AstraZeneca 2.0 akan dibuka pada 23 Mei 2021 untuk warga emas dan 26 Mei bagi penerima berusia 18 tahun ke atas melalui kaedah siapa cepat, dia dapat.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAVMY) dalam satu ciapannya berkata, tempahan vaksin itu akan diperluaskan dan melibatkan negeri Johor, Sarawak, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor.
Sementara itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, orang ramai boleh menempah di laman web rasmi dan Klinik Kesihatan terdekat.
“Tempahan vaksin AstraZeneca seterusnya akan dibuka pada 23 Mei untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Johor di mana kes meningkat.
“AstraZeneca juga akan dihantar kepada rumah jagaan warga emas,” ciapnya di Twitter tadi. – K! ONLINE