Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
MARAN – Para peneroka Felda boleh menarik nafas lega apabila harga sawit yang mencecah RM1,000 bagi satu tan metrik menyaksikan rata-rata mereka kini memperoleh purata pendapatan bersih antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.
Berbeza situasi yang mereka hadapi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu yang mana golongan itu begitu terbeban ekoran harga kelapa sawit yang rendah.
Ketua peneroka Felda Mawar Jengka 10, Jantan Mat Saman, berkata, harga sawit yang melambung berikutan permintaan tinggi di pasaran dunia memberikan kelegaan kepada warga peneroka dalam tempoh PKP 3.0.
“Alhamdulillah peneroka dapat merasa pendapatan lebih tinggi, ada yang peroleh pendapatan lebih RM7,000 sebulan berdasarkan jumlah tuaian sawit di ladang masing-masing.
“Bagaimanapun, pada masa sama peneroka kini menghadapi dilema kerana Felda kekurangan buruh menyebabkan tuaian pusingan kedua tidak dapat dilakukan dengan sempurna,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Ketua Peneroka Felda Keembong Jengka 6, Saharudin Lela berkata, pendapatan peneroka yang agak baik sejak dua bulan lalu memberikan kelegaan kepada mereka ketika berhadapan pandemik Covid-19.
Katanya, rata-rata peneroka pada kali ini lebih berhati-hati dalam membelanjakan hasil jualan kelapa sawit bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada masa akan datang khususnya dalam tempoh PKP.
Sementara itu, Pengerusi Biro Sosial Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, kenaikan harga sawit itu memberikan kegembiraan kepada 14,957 peneroka Wilayah Jengka.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan kepada warga peneroka agar berjimat cermat dan menyimpan duit yang ada sebagai persediaan pada masa akan datang. -K! ONLINE