fbpx

4,961 kenderaan diarah patah balik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA polis membuat pemeriksaan ke atas pemandu kereta di Kawasan Rehat dan Rawat Seremban arah selatan di Lebuh Raya Utara Selatan di Seremban Selasa lalu. – MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE

PETALING JAYA – Hampir 5,000 buah kenderaan diarah berpatah balik kerana gagal mengemukakan alasan munasabah untuk merentas daerah dan negeri semasa pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara dalam tempoh empat hari sejak Rabu sehingga kelmarin.

Ini termasuklah mereka yang mencuba nasib untuk pulang beraya di kampung halaman ma­sing-masing sempena Hari Raya Aidilfitri yang disambut pada Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar berkata, pihaknya merekodkan sebanyak 4,961 kenderaan yang diarahkan berpatah balik dalam tempoh tersebut.

“Jumlah kenderaan berpatah balik yang paling tinggi direkodkan sehari sebelum hari raya (Rabu) iaitu sebanyak 1,637 buah diikuti hari raya pertama seba­nyak 1,107 buah.

“Pada hari raya kedua jumlah kenderaan yang diarah berpatah balik meningkat semula kepada 1,138 buah dan 1,079 buah pada hari raya ketiga (kelmarin),” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, kesemua kenderaan itu dikesan cuba merentas negeri dan daerah menerusi SJR Ops Covid-19 dan SJR Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Daripada jumlah itu, sebanyak 4,118 arahan berpatah balik dikeluarkan di SJR Ops Covid-19, manakala 843 arahan lagi dike­luarkan di SJR PKPD.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim memberitahu, pihaknya me­nerima sebanyak 119,705 permohonan bagi perjalanan rentas negeri dan daerah dalam tempoh empat hari atas pelbagai alasan.

Daripada jumlah itu, seba­nyak 113,048 permohonan telah diluluskan, manakala 6,657 pula ditolak kerana sebab-sebab yang tidak munasabah.

Selangor mencatatkan permohonan paling tinggi iaitu seba­nyak 17,085 diikuti Kedah dan Perak masing-masing dengan 14,090 dan 12,907.

“Permohonan rentas negeri atau daerah paling sedikit dite­rima adalah Perlis iaitu sebanyak 671 permohonan yang mana ke­semuanya telah diluluskan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Abd. Rahim berkata, sepanjang tempoh Hari Raya Aidilfitri iaitu 13 hingga 15 Mei lalu, sebanyak 5,589 pemantauan dan pemeriksaan rumah ke rumah dilakukan pihaknya di seluruh negara.

“Seramai 81 lelaki dan 13 wa­nita dikenakan kompaun atas kesalahan membenarkan ziarah dan kunjung-mengunjung sempena Aidilfitri.

“Terengganu mencatatkan jumlah pengeluaran kompaun paling tinggi terdiri daripada dua tuan rumah dan 46 tetamu diikuti dengan Johor dan Selangor ma­sing-masing 19 dan 17 kompaun,” jelasnya.

Kompaun dikeluarkan di bawah Perkara 16, 17, 18 dan 21 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi arahan dan SOP yang ditetapkan bagi mengekang penularan virus Covid-19.

“Kita tidak akan berkompromi sama ada anggota polis atau kluster kayangan, jika didapati bersalah mereka akan dikenakan tindakan,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI