fbpx

KKM dan ATM wujudkan Field ICU di Kepala Batas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mewujudkan Unit Rawatan Rapi Lapangan (Field ICU) di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang bagi menampung peningkatan kes-kes kritikal yang mendadak di Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan analisa semasa, kadar penggunaan katil ICU Covid-19 di hospital-hospital negeri itu telah melebihi 100 peratus.

Menurut beliau, KKM juga mendapati trend kemasukan pesakit ke ICU di Pulau Pinang telah meningkat lebih 45 peratus untuk tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Tambah Noor Hisham, trend ini dijangka akan berterusan khususnya apabila wujudnya kluster baharu yang melibatkan rumah jagaan warga emas dan lain-lain.

“Field ICU yang bakal didirikan di Hospital Kepala Batas ini akan menggunakan konsep modular di mana ia mampu merawat sehingga 27 pesakit kritikal Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan serta peralatan sokongan hayat lain.

“ATM juga akan mendirikan makmal modular dan unit radiologi modular bagi memberikan kemudahan perkhidmatan sokongan klinikal kepada pesakit-pesakit kritikal yang ditempatkan di Field ICU ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, Noor Hisham turut memberikan penghargaan Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan dan seluruh warga Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan atas segala kerjasama membina Field ICU di Hospital Kepala Batas.

“Semoga segala usaha ini dapat membantu KKM dalam memastikan rawatan yang terbaik diberikan kepada pesakit-pesakit kritikal Covid-19 di Kepala Batas dan kawasan sekitarnya, seterusnya mengurangkan kadar kematian akibat Covid-19 di Malaysia,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI