PASIR MAS – Empat orang pengguna jalan raya dikompaun masing-masing sebanyak RM5,000 selepas melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila merentas daerah tanpa surat kebenaran sah polis.
Kesemua individu itu ditahan menerusi pemeriksaan mengejut yang dilakukan di laluan Jambatan Sultan Ismail Petra, Tendong di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, mereka yang dikompaun itu dari luar daerah Pasir Mas berdasarkan kepada alamat di dalam kad pengenalan masing-masing.
Menurutnya, sebanyak lapan buah kenderaan telah diarah berpatah balik kerana tidak mempunyai surat kebenaran rentas daerah.
“Kesemua individu diarah berpatah balik itu adalah penduduk yang beralamat di daerah ini.
“Dalam operasi bermula 11 pagi hingga 2 petang itu, kita telah memeriksa 200 kenderaan pelbagai jenis melibatkan 231 individu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Nasaruddin memberitahu, sepanjang tempoh itu sebanyak 20 saman berkait kesalahan trafik telah dikeluarkan.
Katanya, polis turut menahan seorang remaja berusia 18 tahun yang telah bertindak melarikan diri daripada pemeriksaan itu.
“Semasa sedang melakukan pemeriksaan mengejut itu, anggota polis telah melihat seorang penunggang motosikal telah berpatah balik dengan melawan arus.
“Bukan itu sahaja, penunggang motosikal itu telah melanggar kaki kanan seorang anggota yang cuba menahannya,” ujarnya. – K! ONLINE