SUNGAI BULOH – Pasaran hartanah kediaman di negara ini dilihat kekal rancak dengan jumlah pembeli yang mencukupi, meskipun dalam persekitaran ekonomi yang masih sukar kini.
Pengarah Urusan Pencala Jaya Sdn. Bhd. (Pencala Jaya), Fatima Abd. Wahab berkata, kediaman bertanah terutamanya masih laris terjual, namun ia mestilah ditawarkan pada harga yang berpatutan.
Menurut beliau, hal ini jauh berbeza dengan segmen kediaman berbilang tingkat, yang mana ia sukar untuk dijual dalam suasana pasaran sekarang meskipun mengalami penurunan harga yang signifikan.
“Di Kajang misalnya, terdapat kediaman berbilang tingkat berkeluasan 1,000 kaki persegi (92.9 meter persegi) yang mana harganya telah turun kepada RM260,000, itu pun masih tidak dapat dijual.
“Saya percaya kebanyakan pembeli di Malaysia, khususnya golongan Melayu tidak begitu tertarik untuk mendiami rumah berbilang tingkat sekiranya mereka diberi pilihan untuk kediaman bertanah.
“Kediaman bertanah merupakan produk paling selamat buat pemaju pada waktu ini dan saya berpandangan pasaran kediaman bertingkat hanya mampu pulih dalam tempoh tiga tahun lagi,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Pencala Jaya merupakan pemaju perbandaran Taman Putra yang berkeluasan 50.58 hektar di Bukit Rahman Putra di sini.
Dibangunkan atas tanah Rizab Melayu, Taman Putra memiliki enam fasa termasuk satu fasa komersial dengan nilai pembangunan kasar dianggarkan bernilai RM1.25 bilion.
Fasa pertama dan kedua Taman Putra yang terdiri daripada rumah teres dua tingkat, masing-masing dilancarkan pada 2018 dan 2020 telah habis terjual, manakala fasa ketiga bakal dilancarkan pada suku pertama tahun 2022.
Fatima berkata, ketika kebanyakan pemaju dilihat tidak menghadapi masalah menjual kediaman bertanah, cabaran yang dihadapi kini ialah mendapatkan kelulusan pembiayaan bank.
Jelasnya, kadar pembeli yang permohonan pinjaman mereka ditolak adalah sekitar 50 peratus, bermakna pemaju perlu mendaftarkan sekurang-kurangnya dua pembeli untuk menjual satu kediaman.
“Kami tidak boleh menjual kepada pembeli yang bekerja dalam industri penerbangan, pelancongan, restoran dan hotel,” katanya.
Untuk memudahkan pembeli, Fatima berkata, pemaju sepatutnya bersedia untuk mendapat margin keuntungan lebih rendah dengan menyerap pelbagai bayaran yang pada kebiasaannya sebelum ini ditanggung pembeli, misalnya fi memorandum of transfer (MOT), duti setem dan lain-lain.
“Pembeli sekarang, selepas membayar deposit seboleh-bolehnya mereka tidak mahu ambil tahu tentang sebarang keperluan pembayaran lain sehinggalah menerima kunci rumah masing-masing,” katanya.