fbpx

Isteri anggota polis lawat suami bertugas di SJR dikompaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar tular ahli keluarga melawat salah seorang anggota polis yang bertugas di SJR Persiaran Selatan-Hala Keluar ke Dengkil pada hari raya pertama lalu.

PUTRAJAYA – Polis mengeluarkan kompaun kepada isteri anggota polis yang menziarah suaminya yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Persiaran Selatan-Hala Keluar ke Dengkil pada hari raya pertama lalu kerana mendapati terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali berkata, kompaun itu dikeluarkan kerana pihak polis tidak mahu perbuatan sedemikian dijadikan alasan oleh semua ahli keluarga petugas untuk melawat keluarga yang bertugas di lapangan pada hari raya ataupun hari biasa.

“Pada awalnya, perbuatan tersebut dilihat sebagai satu tanggungjawab isteri untuk memberi sokongan moral kepada suami yang sedang bertugas dengan menghantar juadah di pagi raya.

“Namun, kepentingan awam adalah melebihi kepentingan individu, justeru kompaun dikeluarkan kepada isteri anggota tersebut di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 [P.U.(A) 225/2021],” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Fadzil berkata, bagi dakwaan menaiki kenderaan melebihi had tiga orang untuk sebuah kenderaan, tiada kompaun yang dikeluarkan kerana mereka menaiki dua buah kenderaan berbeza.

“Siasatan lanjut telah dijalankan dan hasil siasatan mendapati anggota tersebut dan keluarganya tinggal di dalam daerah Putrajaya.

“Isteri dan anak-anak anggota tersebut telah datang menaiki dua buah kenderaan yang berbeza untuk singgah sebentar bagi menyerahkan juadah Hari Raya Aidilfitri kerana suami bertugas pada pagi tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, Mohd. Fadzil berkata, polis tidak berkompromi sekiranya wujud sebarang pelanggaran SOP PKP dan akan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira sama ada orang awam mahu pun anggota PDRM sendiri.

Kosmo! Online semalam melaporkan polis menafikan terdapat pelanggaran SOP PKP berhubung kunjungan ahli keluarga anggota polis yang bertugas di SJR Persiaran Selatan-Hala Keluar ke Dengkil pada hari raya pertama lalu.

Mohd. Fadzil dilaporkan berkata, anggota terlibat merupakan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya yang bertugas dan tinggal di Putrajaya bersama keluarga dan anaknya berumur 5, 10 tahun dan 11 tahun. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI