fbpx

K2

Al-Aqsa terus dijarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PADA awal pagi 10 Mei lalu, suasana sekitar Masjid Al-Aqsa, Baitulmuqaddis, Palestin kelihatan cukup tenang dengan para jemaah sedang khusyuk menunaikan solat Subuh.

Belum sempat solat dihabiskan, polis Israel telah bertindak meluru ke semua pintu masjid Al-Aqsa sebelum bertindak menembak peluru getah dan melepaskan gas pemedih mata ke arah jemaah.

Situasi tersebut telah mengundang kepada pertempuran sengit di sekitar kompleks Masjid Al-Aqsa antara penduduk Palestin dengan rejim Zionis.

Pertempuran itu tercetus betul-betul menjelang perarakan untuk menyambut ulang tahun kejayaan Israel mengambil alih Baitulmuqaddis dalam Perang Enam Hari 1967.

Rata-rata penduduk Palestin menyifatkan tindakan Israel itu sangat keterlaluan ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan serta raikan ketibaan Aidilfitri.

“Mereka (polis Israel) telah menyerbu semua pintu masjid sebelum bertindak menembak peluru getah dan gas pemedih mata kepada jemaah yang sedang menunaikan solat.

“Seorang polis turut melempar bom tangan sehingga menyebabkan karpet terbakar. Mujur, saya sempat melarikan diri,” ujar seorang jemaah, Ibrahim kepada portal berita Al-Jazeera.

Penembak tepat polis Israel turut ditempatkan di atas bumbung sekitar masjid sebelum bertindak menembak peluru getah kepada penduduk Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak.

Disebabkan serangan itu, lebih 300 penduduk Palestin dilaporkan cedera dengan kira-kira 50 daripadanya terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Seorang petugas Al-Aqsa, Raed D’ana berkata, dia telah dipukul oleh pasukan keselamatan Israel sebelum diusir keluar dari pekarangan masjid.

“Mereka menendang dan menolak saya jatuh ke tanah. Selepas saya menunjukkan kad pekerjaan saya, mereka terus mengusir saya keluar dari Al-Aqsa,” ujarnya.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengatakan bahawa Israel perlu bertanggungjawab terhadap pertempuran yang berlaku di Masjid Al-Aqsa ketika ini.

“Israel perlu bertanggungjawab terhadap peristiwa berbahaya dan berdosa yang berlaku di lokasi tanah suci ini,” ujarnya kepada agensi berita Reuters.

POLIS rejim Israel tanpa belas kasihan menahan secara keras dua lelaki Palestin yang tidak berpuas hati dengan tindakan kejam pasukan tersebut ke atas penduduk Palestin di Baitulmuqaddis baru-baru ini. – AFP

Menurut laporan portal Israel, Haaretz, ketegangan antara polis dan penduduk Palestin bermula pada 12 April lalu selepas pasukan keselamatan itu mengadakan sekatan di Plaza Gerbang Damsyik.

Selang empat hari kemudian, polis Israel mengehadkan 1,000 jemaah untuk solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa sehingga mengundang kemarahan penduduk.

Terdapat juga laporan menyatakan, pertempuran tercetus disebabkan pengusiran secara paksa penduduk Palestin di timur Baitulmuqaddis, Sheikh Jarrah oleh pihak Israel.

Bagi memprotes tindakan itu, penduduk Palestin telah melakukan tunjuk perasaan di kawasan Al-Aqsa sehingga mengundang pertempuran dengan rejim Zionis.

“Jika kami tidak bersikap tegas, pengusiran akan terjadi pada rumah saya, rumah dia dan rumah semua warga Palestin di sini,” ujar salah satu peserta penunjuk perasaan, Bashar Mahmoud.

Rentetan itu, Kementerian Kehakiman Israel telah menangguhkan perbicaraan kes pemilikan tanah di kawasan kejiranan timur Baitulmuqaddis yang berlarutan sejak sekian lama.

“Memandangkan keadaan genting ketika ini serta nasihat daripada peguam negara, sesi pendengaran bagi perbicaraan pada 10 Mei dibatalkan,” ujar kementerian itu dalam satu kenyataan.

Masjid Al-Aqsa yang turut dikenali sebagai Haram al-Sharif yang merupakan tempat suci kepada tiga agama iaitu Islam, Yahudi dan Kristian.

Ia merupakan tempat ketiga paling suci kepada umat Islam selepas Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Nabawi, Madinah yang terletak di Arab Saudi.

Dalam al-Quran mencerita kisah Rasulullah SAW melakukan perjalanan malam dari Mekah ke Al-Aqsa sebelum berangkat ke langit ketujuh dalam peristiwa Israk Mikraj.

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami.

“Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui,” petikan daripada Surah Isra (17:1).

Kitab-kitab hadis turut menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah mengajarkan umatnya mengarahkan kiblat ke Masjid Al-Aqsa ketika bersembahyang selama 17 bulan selepas penghijrahan baginda.

Setelah wahyu diturunkan (Surah al-Baqarah ayat 148), kiblat tersebut telah diubah ke Masjidil Haram dan kekal sehingga sekarang.

Menurut sejarah, Masjid Al-Aqsa dibina secara bertutup oleh khalifah kedua Islam, Saidina Umar Al-Khatab pada tahun 638 M.

Ketika pemerintahan Khalifah Umayyah, Abdul Malik Ibni Marwan, beliau telah mengarahkan supaya dibina sebuah masjid bagi menggantikan masjid yang sedia ada pada tahun 690M.

Anaknya, Al Walid Ibni Abdul Malik bertanggungjawab untuk menyiapkan pembinaan masjid tersebut bersama Qubbat As-Sakhrah semasa pemerintahannya pada 705M.

Selepas berlakunya gempa bumi pada tahun 746M, Masjid Al-Aqsa telah mengalami kerosakan teruk sebelum dibangunkan kembali oleh khalifah kedua Bani Abbasiyah, Abu Ja’far al-Mansur dan siap pada 771M.

PENDUDUK Palestin mengusung rakan mereka yang cedera melintasi polis rejim Zionis yang berkawal di kawasan masjid Al-Aqsa, Baitulmuqaddis pada 10 Mei lalu. – AFP

Masjid Al-Aqsa terus mengalami proses pengubahsuaian di bawah pemerintahan pelbagai dinasti termasuk kerajaan Uthmaniyyah, Majlis Tertinggi Muslim dan Jordan.

“Meskipun kawasan suci ini berada di bawah penguasaan Israel, namun Masjid Al-Aqsa tetap berada di bawah pentadbiran Wakaf Islam dipimpin oleh Jordan dan Palestin sejak tahun 1967.

“Wakaf ini bertanggungjawab untuk menjaga amanah agama untuk menguruskan tempat bersejarah Islam di sekitar Al-Aqsa,” ujar satu kenyataan dalam portal Al-Jazeera.

Portal berkenaan turut memaklumkan, kawasan sekitar Al-Aqsa seluas kira-kira 14.1 hektar itu pernah menjadi lokasi terletaknya tempat suci bagi penganut Yahudi yang dikenali sebagai Kuil Yahudi Kedua.

Kota suci bertembok itu dibina pada akhir abad pertama Sebelum Masihi sebelum dimusnahkan oleh kerajaan Rom sekitar tahun 70.

Penganut Yahudi juga percaya tembok di sekitar puncak Gunung Moriah menjadi lokasi Abraham mempersembahkan anaknya Isaac sebagai korban berdasarkan naratif kepercayaan mereka.

“Penganut Yahudi diizinkan mengunjungi kompleks Al-Aqsa, namun dilarang beribadat di sana kerana dikhuatiri mengundang ketegangan dengan jemaah Muslim.

“Malangnya, penganut Yahudi ultra-nasionalis tetap ingin membangunkan Kuil Ketiga. Golongan ini sering mengunjungi Al-Aqsa serta berdoa secara diam-diam,” tulis portal itu.

Polis Israel memantau kemasukan pengunjung ke Al-Aqsa menerusi Gerbang Mugharabi iaitu satu-satunya laluan masuk kepada bukan Islam.

Beberapa kali penganut Yahudi berjaya masuk ke dalam Masjid Al-Aqsa hingga menimbulkan ketegangan dengan orang Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI