PETALING JAYA – Kementerian Pelajaran memahami cabaran Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan memberi kebebasan kepada warga pendidik untuk mengaplikasikan kaedah penyampaian PdPR mengikut kesesuaian para guru dan murid.
Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, ramai beranggapan PdPR adalah pembelajaran secara dalam talian namun pihaknya mengambil maklum kekangan guru di seluruh negara terutamanya melibatkan sekolah-sekolah di luar bandar dan kawasan pedalaman.
Menurutnya, pendigitalan pendidikan ialah satu proses yang memerlukan penelitian mendalam dan mengambil masa dan pihaknya menyedari warga pendidik begitu kreatif dan mengetahui kaedah terbaik yang boleh diambil terutamanya melibatkan murid yang mempunyai halangan terhadap akses internet dan peranti pintar.
“Dalam konteks PdPR selepas hari raya, tujuan kita umum lebih awal ialah untuk memberi ruang kepada guru memilih kaedah yang paling baik dalam tempoh tersebut namun dalam aspek pendigitalan dalam pendidikan seluruhnya ini adalah antara perkara yang sedang diperincikan dalam dasar pendidikan digital.
“Kaedah digital dalam penyampaian digital melibatkan dasar yang cukup luas yang memerlukan struktur kompetensi bagi membolehkan persediaan latihan dan guru-guru dapat diperincikan satu persatu,” katanya dalam rancangan Bual Bicara Khas Hari Guru bersama Menteri Kanan Pendidikan hari ini.
Program berkenaan disiarkan menerusi Facebook Live dan Saluran DidikTV KPM bersempena Hari Guru ke-50 bertemakan Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu.
Begitupun, beliau melihat pada musim pandemik para guru mendapat peluang belajar dan mengambil inisiatif menambah baik kemahiran digital untuk menyampaikan ilmu yang dimiliki.
Katanya, ia bertepatan dengan tema sambutan dengan guru sendiri turut berguru menggunakan pelbagai cara demi menyampaikan kaedah terbaik kepada murid mereka.
Beliau sedar, ada kalanya wujud jurang informasi mengenai apa yang sebenarnya dilaksanakan guru dengan apa yang dilihat masyarakat berkenaan tugas guru semasa PdPR sedangkan segala pengorbanan, jasa bakti dan budi baik guru menjadi komponen asas penting yang turut perlu dihargai.
Tambahnya, dalam konteks penutupan sekolah cabaran yang timbul bukan sahaja pada murid tetapi juga guru dengan statistik kehadiran pelajar meningkat 90 peratus apabila sekolah dibuka semula baru-baru ini berbanding sekitar 80 peratus sebelum pandemik menunjukkan mereka teruja untuk kembali ke sekolah.
“Kerana itu saya saya ada minta Kementerian Kesihatan dahulukan guru untuk pemberian vaksin dan buat masa ini sudah ada kelompok guru berisiko sudah menerima vaksin.
“Situasi pandemik merupakan satu tempoh yang panjang dan mencabar persoalannya adakah kita akan tutup sekolah sampai bila-bila? Jadi kita cuba melakukan yang terbaik berhubung pendekatan yang boleh dilaksanakan mengikut keadaan semasa,” jelasnya. K! ONLINE