fbpx

Ingatan kepada Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHENG HOE (tengah) memanggil 25 pemain untuk menjalani latihan pusat di Stadium Nasional, Bukit Jalil mulai hari ini hingga Rabu sebelum terbang ke Dubai pada 20 Mei ini.

Fokus kepada tugas mewakili negara, bukan pergi makan angin

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberi peringatan kepada anak-anak buahnya bahawa panggilan mewakili negara bukan fasa makan angin menjelang kem latihan pusat yang akan bermula hari ini.

Sebagai rekod, Cheng Hoe te­lah memanggil 25 pemain dengan 21 dalam kalangan mereka akan mula turun menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil bermula hari ini hingga Rabu depan sebelum ‘terbang’ ke Dubai pada 20 Mei ini.

Kata Cheng Hoe, barisan kejurulatihan dan pemain sudah tentu bersemangat selepas bakal menggalas cabaran negara ke arena kompetitif antarabangsa buat kali pertama sejak November 2019 tetapi sekarang bukanlah masa untuk melancong.

“Semua tahu kami semua sudah lama tidak ke luar negara sejak penularan pandemik Co­vid-19 pada tahun lepas dan saya harap pasukan yang menggalas tugas untuk mewakili negara kali ini bukan melihatnya sebagai peluang makan angin.

“Tanggungjawab pasukan adalah jelas kerana kita perlu menyelesaikan misi yang belum selesai iaitu mengharungi baki saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan langkah positif.

“Justeru, saya tidak mahu pemain mengambil mudah tetapi segera menyesuaikan diri de­ngan keadaan cuaca di sana selain memberi tumpuan penuh pada dua aksi persabahatan menentang Kuwait dan ­Bahrain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Sementara itu, Cheng Hoe turut mempertahankan pemilihan 25 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat kali ini kerana mereka sudah serasi berganding bersama.

“Saya tidak mahu pemain-pemain yang tidak berada dalam senarai ini gusar dengan ketiadaan nama mereka kerana pintu skuad kebangsaan sentiasa terbuka.

“Berdasarkan penilaian dibuat, barisan pemain dipanggil kali ini adalah yang terbaik berdasarkan pengalaman mereka beraksi di pentas antarabangsa sebelum ini sekali gus tidak sukar untuk membentuk keserasian di atas padang,” katanya.

Skuad negara dijadualkan bertemu dengan Kuwait pada 23 Mei ini di Dubai sebelum terbang ke Manama untuk aksi persahabatan kedua menentang Bahrain pada 28 Mei nanti.

Kemudian, skuad negara akan melengkapkan tiga baki saingan Kumpulan G dengan bertemu Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun diikuti aksi menentang Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI