fbpx

Jacobs bakal cipta kejutan di Tokyo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JACOBS mencatat masa 100m kelima terpantas dunia iaitu 9.95s pada Kejohanan Memorial Ottolia di Savona, Itali pada Khamis lalu.

SAVONA, Itali – Nama Lamont Marcell Jacobs kini disebut-sebut sebagai salah seorang pencabar pingat emas dalam acara 100 meter (m) pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun bermula 23 Julai depan.

Ia selepas Jacobs, 26, men­catat masa acara la­rian 100m kelima terpantas dunia bagi tahun ini iaitu 9.95 saat (s) pada Kejohanan Memorial Ottolia di Savona, Itali pada Khamis lalu.

Jaguh pecut dari Itali itu langsung tidak menjangka dia mampu melakukan catatan menakjubkan tersebut.

Ini kerana, rekod peribadinya sebelum ini ha­nyalah 10.03s yang dilakukan pada dua tahun lalu.

“Saya tahu keadaan badan pada tahap terbaik selepas dua kejohanan sebelum ini.

“Saya mengambil langkah berhati-hati dan cuba untuk tidak melakukan kesilapan pada awal perlumbaan.

“Saya agak tertekan apabila diletakkan jangkaan tinggi selepas saya juara 60m pada Kejohanan Dalam Dewan Eropah 2021. Namun, saya sama sekali tidak jangka dapat lakukan larian sepantas ini,” katanya.

Kejayaan itu menyaksikan Jacobs muncul pelari kedua dari Itali berjaya mencatat masa bawah 10s, selain Filippo Tortu, 22, yang melakukan 9.99s pada 2018.

Ia menyaksikan Itali akhirnya mempunyai pelari pecut yang dilihat mampu mencuba nasib untuk memecahkan dominasi Amerika Syarikat (AS) dan Jamaica dalam acara reben biru Sukan Olimpik.

Sebagai rekod, empat catatan terpantas 100m tahun ini ke­semuanya milik jaguh-jaguh daripada AS iaitu Trayvon Bromell (9.88s), Fred Kerley (9.91s), ­Ronnie Baker (9.94s) dan Jo’Vaughn Martin (9.94s). – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI