fbpx

Laluan usang, bahaya perlu diganti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Paras air Sungai Semantan mencecah ke lantai jambatan setiap kali hujan lebat yang membahayakan pengguna jambatan gantung itu.

TEMERLOH – Tragedi lemas melibatkan dua beradik yang terjatuh dari jambatan gantung di Kampung Rekoh, Rompin pada 28 April lalu terus menjadi igauan penduduk di dua buah kampung berdekatan bandar Mentakab di sini.

Jambatan gantung Sungai Semantan yang digunakan kira-kira 400 penduduk Kampung Lubuk Serdang dan Kampung Sungai Dingin itu sudah uzur dan pada bila-bila masa sahaja boleh ‘rebah’ ke dalam sungai.

Seorang penduduk Kampung Sungai Dingin, Nur Muhammad Alias, 21, berkata, jambatan gantung yang dibina pada 1984 itu sudah uzur apabila struktur permukaan lantainya berlekuk manakala besi penghadang bahagian tepi banyak yang sudah tercabut.

“Jambatan ini rosak akibat banjir pada 6 Januari lalu dan selepas kejadian itu belum dibaiki, saya bimbang kerana jambatan ini merupakan laluan utama penduduk keluar ke tempat kerja dan membeli barangan keperluan malah untuk pelajar berulang alik ke sekolah.

“Jambatan ini juga merupakan jalan pintas bagi penduduk kerana lebih dekat dengan jalan raya ke bandar Mentakab dan Temerloh serta sebagai laluan alternatif ketika jalan kampung berdekatan ditenggelami air ketika banjir,” katanya di sini semalam.

Keadaan jambatan gantung yang sudah uzur dengan keadaan lantai jambatan yang melekuk.

Menurut Nur Muhammad, sebelum ini pernah berlaku kemalangan di atas jambatan tetapi penunggang motosikal bernasib baik kerana tidak terjatuh ke dalam sungai yang boleh menga­kibatkan kemalangan jiwa.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Sungai Dingin, Mohamad Daud, 62, berkata, laluan di jambatan berkenaan bertambah bahaya apabila air Sungai Semantan naik selepas hujan lebat.

Justeru beliau berharap pihak berwajib segera membaik pulih jambatan itu agar penduduk le­bih selesa menggunakannya seterusnya memastikan keselamatan mereka terjamin.

“Walaupun bahaya, kami semua terpaksa merentasi jambatan ini setiap kali mahu berbelanja ke bandar kerana ia adalah laluan yang lebih dekat walaupun berdepan risiko keselamatan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI