PETALING JAYA – Pelakon Sharnaaz Ahmad berkongsi kedukaan yang menyelubungi keluarganya apabila baru sahaja kehilangan bapa saudara akibat Covid-19.
Berita tersebut dikongsikan Sharnaaz, 35, dalam satu hantaran Instagramnya menerusi sekeping gambar hitam putih Allahyarham yang mesra dibahasakannya Uncle Ijan itu beberapa jam lalu.
Pelakon drama Pelindung Seorang Puteri itu turut memberi pesanan kepada pengikutnya bahawa penularan wabak Covid-19 memang wujud dan sangat membahayakan semua orang di luar sana.
“Saya baru sahaja kehilangan pakcik, Uncle Ijan disebabkan Covid-19 tahap empat. Kawan-kawan, benda ini bahaya sangat. Jaga diri okey.
“Sedekahkan al-Fatihah buat Uncle Ijan dan yang kepada yang telah gugur disebabkan Covid-19. Semoga keluarga Uncle Ijan tabah.
“Al-Fatihah, semoga arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama kalangan orang soleh dan beriman. Diampunkan segala dosa dan diredai Allah SWT,” tulisnya.
Terdahulu, beberapa artis tempatan pernah dijangkiti virus maut tersebut iaitu Sweet Qismina, Farisha Irwayu dan Laila Nasir.
Sementara baru-baru ini, pelakon Nora Danish, Tiz Zaqyah dan Nabila Huda juga mengalami nasib sama apabila disahkan positif Covid-19. – K! ONLINE