PETALING JAYA – Pasangan warga emas yang tinggal di hutan dekat Estate Sungai Remok, Batang Kali, Hulu Selangor merupakan asnaf fakir berdaftar dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop berkata, berdasarkan rekod, pasangan itu juga menerima bantuan kewangan sebanyak RM400 sebulan selain bantuan makanan bulanan sejak tahun 2016.
“Keluarga ini juga menerima Bantuan Hari Raya sejak 2016,” katanya melalui hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Saipolyazan turut menegaskan, rumah pasangan tersebut dibina di tanah milik individu lain dan justeru itu, bantuan membina rumah asnaf tidak boleh diberikan kepada keluarga berkenaan.
Mengulas lanjut katanya, dakwaan pasangan warga emas itu yang memaklumkan anaknya tinggal di perantauan, siasatan LZS sebelum ini mendapati ada anak pasangan itu yang tinggal berdekatan.
“Sejak awal dikesan, LZS dan Penolong Amil Kariah telah memujuk pasangan itu untuk berpindah ke rumah lebih selesa dan semua kos serta sewa bulanan akan dibantu LZS namun mereka masih mahu terus tinggal di rumah tersebut.
“Mereka menolak tawaran tersebut melalui surat pada 17 Jun 2020,” jelasnya.
Terdahulu, baru-baru ini sebuah stesen televisyen swasta telah melaporkan pasangan warga emas berkenaan tinggal dalam keadaan daif di Estate Sungai Remok, Batang Kali, Hulu Selangor. – K! ONLINE