fbpx

Malaysia gesa OIC ambil tindakan tegas lindungi rakyat Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mesyuarat antara menteri-menteri luar anggota OIC akan membincangkan serangan berterusan Israel ke atas wilayah Palestin yang semakin sengit sejak Isnin lalu. - AFP

PUTRAJAYA – Malaysia akan menyuarakan pendirian dan gesaan agar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil tindakan tegas serta melaksanakan usaha semaksimum mungkin demi melindungi rakyat Palestin daripada keganasan Israel.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, gesaan itu akan disuarakan dalam Mesyuarat Tergempar Terbuka secara maya Jawatankuasa Eksekutif OIC Peringkat Menteri-Menteri Luar yang diadakan esok.

Katanya, mesyuarat itu akan membincangkan mengenai tindakan keganasan Israel, pencerobohan dan pendudukan kuasa oleh Israel di Wilayah Palestin terutamanya di Al-Quds Al-Shareef.

“Malaysia yang sentiasa menyokong padu perjuangan Palestin dan rakyatnya akan menyertai mesyuarat ini di mana saya sendiri selaku Menteri Luar Negeri akan mewakili negara dan kerajaan.

“Saya akan mengambil kesempatan menerusi pertemuan esok bagi menyampaikan pendirian tegas dan tidak berbelah bahagi Malaysia mengenai perkara ini kepada OIC,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, dia juga telah berkomunikasi secara berterusan dengan rakan sejawatnya, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi dan Menteri Luar Negeri II Brunei Darussalam, Datuk Seri Setia Erywan
bagi mencapai kata sepakat antara negara-negara Islam Asia Tenggara mengenai Palestin.

“Secara kolektif, kami bertiga mengecam sekeras-kerasnya serangan tentera penjajah Isreal terhadap rakyat Palestin dan mahu Israel hentikan serta merta tindakan pencerobohan di seluruh wilayah Palestin,” tegasnya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI