SEBERANG PERAI – Seorang lelaki di Kepala Batas di sini yang terpedaya dengan tawaran seorang individu untuk membantu membebaskan adiknya yang ditahan polis berputih mata apabila wang RM3,500 lesap kerana menjadi mangsa penipuan.
Mangsa berusia 34 tahun itu dikatakan telah didatangi seorang rakan adiknya pada hujung bulan lalu yang mendakwa boleh membantu membebaskan adik mangsa dengan membuat sejumlah bayaran.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes penipuan untuk menjamin orang kena tahan (OKT) itu selepas mangsa tampil membuat laporan semalam.
“Mangsa sebelum itu didatangi suspek yang menawarkan khidmat menjamin adiknya untuk dibebaskan dan tidak dikenakan tindakan undang-undang.
“Ini kerana adik mangsa telah ditangkap polis di sebuah rumah di Penaga, Kepala Batas atas kesalahan narkotik,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang terpedaya telah membayar RM3,500 seperti yang diminta suspek bagi menutup kes itu.
“Mangsa bagaimanapun hanya menyedari ditipu selepas dia dimaklumkan oleh pegawai polis bahawa adiknya boleh dijamin dengan jaminan mahkamah di Mahkamah Butterworth pada 4 Mei lalu.
“Tindakan undang-undang tetap dikenakan ke atas adik mangsa atas kesalahan yang dilakukan berkenaan,” katanya lagi.
Beliau berkata, polis sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kes itu termasuk bagi memperoleh maklumat berhubung akaun bank suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K!ONLINE