PETALING JAYA – Sekumpulan penduduk yang sedang asyik membakar bunga api dan mercun bertempiaran lari sebaik ternampak sebuah kereta peronda polis tiba untuk membuat pemeriksaan dalam kejadian di kawasan perumahan Presint 17, Putrajaya kelmarin.
Berdasarkan rakaman sebuah video, penduduk sebelum itu sedang berseronok membakar bahan letupan tersebut di tengah jalan di kawasan parkir dipercayai untuk memeriahkan suasana kerana masing-masing tidak dapat pulang beraya di kampung halaman masing-masing.
Difahamkan, keadaan sama turut berlaku di beberapa lokasi di sekitar Putrajaya seperti di Presint 5, 11, 14, 15 dan 17.
Berdasarkan komen di laman Facebook, rata-rata pengguna berpendapat tidak salah untuk bermain mercun dan bunga api namun perlu menjaga jarak serta memakai pelitup muka.
“Rasanya polis kasi je kalau nak main mercun cuma perlu pakai mask dan jangan berkumpul. Siapalah yang report (membuat aduan). Kasi can lah sebab semua tak boleh balik kampung,” kata seorang pengguna lain.
Namun ada juga pengguna yang menyokong tindakan polis datang membuat pemeriksaan kerana mengganggu ketenteraman awam ekoran membuat bising dengan bunyi letupan.
Namun ada satu komen yang mendapat perhatian pengguna lain iaitu:
“Presint 9 semalam berlawan ok je. tapi ada juga yang berbunyi katanya main dari rumah, itu memang bahayalah. Cuma ugut nak report tu macam tak pernah sambut raya dengan bunga api je. Setahun sekali je pun. Bila buat persembahan bunga api beria bersesak nak pergi tengok. Pelik-pelik”. – K!ONLINE