PUTRAJAYA – Calon anak muda yang terpilih menganggotai Kumpulan Penasihat Anak Muda kepada Perdana Menteri iaitu sebuah kumpulan khas penasihat anak muda berkepakaran akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, buat masa ini, proses pemilihan barisan anak muda tersebut sedang dalam peringkat untuk dimuktamadkan.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memperkasa peranan belia melaui penubuhan kumpulan khas itu kerana sedar kepentingan golongan belia terhadap hala tuju pembangunan negara.
“Penubuhan kumpulan khas ini adalah inisiatif baik supaya suara generasi belia di peringkat akar umbi dapat didengari dan seterusnya menyumbang kepada perancangan dasar kerajaan.
“Saya berharap lebih ramai belia di negara ini dapat terlibat secara langsung dalam merangka strategi pembangunan negara yang menyeluruh menerusi platform yang dicadangkan oleh Majlis Belia Malaysia itu,” katanya ketika berucap menyampaikan perutusan khas sempena Hari Belia Negara 2021 di sini hari ini.
Seperti tahun lepas, sambutan Hari Belia Negara tahun ini juga bertemakan ‘Dekat Ini, Dekat Anda’ yang mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengiktiraf peranan golongan belia sebagai warga penting yang mencorakkan hala tuju masa depan negara.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha untuk menangani cabaran belia terutamanya pasca Covid-19 serta mempersiapkan anak muda dalam menghadapi arus perubahan landskap digital.
“Ia merangkumi bidang kemahiran seperti menghak upaya belia melalui pemikiran analitik dan inovasi, kecekapan pengurusan teknologi baharu dan penekanan budaya inovasi dan kreativiti,” katanya.
Selain itu, katanya, usaha Kementerian Belia dan Sukan untuk memartabat pekerja belia melalui pengiktirafan profesion pekerja belia juga merupakan antara inisiatif jangka panjang yang dapat memperkukuh ekosistem pembangunan belia kondusif.
Berhubung penyertaan belia sebagai Sukarelawan MyVac dan Sukarelawan Rakan Muda Sports Bubble, Muhyiddin berkata, seramai 10,500 orang mendaftarkan diri sebagai sukarelawan MyVac manakala 5,360 orang mendaftar sebagai sukarelawan Rakan Muda Sports Bubble setakat 3 Mei lalu.
Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 80 peratus sukarelawan terdiri daripada golongan yang berumur di antara 15 hingga 40 tahun.
“Penyertaan besar golongan belia ini merupakan bukti sumbangan warga ini untuk membantu masyarakat dan kerajaan dalam usaha menamatkan wabak Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi negara,” katanya. -K! ONLINE