fbpx

Empat beradik tidak sempat beraya dengan ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empat anak Allahyarham Siti Khodijah kini dijaga nenek mereka, Rokiah di Kampung Teluk Wang, Sungai Pasir, Sungai Petani.

SUNGAI PETANI – Hasrat empat beradik untuk beraya bersama ibu mereka tidak kesampaian apabila wanita itu meninggal dunia selepas 26 hari koma dipercayai akibat mengalami pendarahan dalam kepala.

Ibu mereka, Siti Khodijah Ab. Manaf, 32, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini pada pukul 2.50 pagi tadi.

Wanita terbabit meninggalkan empat anak yang masih kecil iaitu, Nur Alyaa Nadrah Qaisara Ab Salam, 8; Abdul Raqiz, 5; Abdul Wafiy, 4, dan Irfan Arshad, 2 yang kini dijaga nenek mereka, Rokiah Bahari, 68.

Ibu saudara mereka, Hafizah Ibrahim, 41, berkata, arwah yang juga anak keempat daripada lima beradik tiba-tiba pengsan pada pukul 4 pagi, 18 April lalu ketika hendak membancuh susu anaknya.

Hafizah berkata, sejak dirawat di HSAH arwah tidak sedarkan diri, namun menunjukkan perubahan apabila menggerakkan jari dan tangan kirinya.

“Kami harap dia sembuh dan kembali ke sisi anak-anak, namun hari ini kami dikejutkan dengan berita pemergiannya buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumah ibu arwah di Kampung Teluk Wang, Sungai Pasir di sini hari ini.

Hafizah memberitahu, dia sempat membawa empat anak saudaranya ke pasar raya untuk membeli pakaian bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri pada minggu lalu.

“Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku terutama ketika dalam suasana hari raya kami kehilangan arwah,” katanya.

Tambahnya, kesemua anak arwah demam dan batuk pada hari raya pertama semalam disebabkan terlalu rindukan ibu mereka.

Difahamkan jenazah akan dibawa pulang ke rumah mereka di Kampung Teluk Wang di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Wang sebaik sahaja selesai bedah siasat.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah mengesahkan berhubung kematian mangsa, namun masih menunggu laporan bedah siasat berkaitan punca kematian wanita berkenaan.

“Saya berharap tiada mana-mana pihak yang membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini kerana siasatan sedang dilakukan,” jelasnya.

Arwah pada tahun lalu didakwa cedera selepas dipukul suaminya- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI